Sunday, 12 February 2017

Perhimpunan DHL pertama saya

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah saya diberi peluang untuk berhimpun bersama ikhwah akhwat DHL dalam mesyuarat agung tahunan Isma Cawangan DHL. Bermula dengan aktiviti riadah (setiap pagi ahad kami wajib ada riadah) dan seterusnya bersiap untuk program AGM kami. Sudah lama saya tidak berkongsi pengisian UFA di sini. Oleh itu, di kesempatan UFA menjadi perasmi pembuka AGM kami, saya mencatat sedikit nota untuk peringatan diri ini terutamanya.

UFA memulakan ucapan dengan mengajak ahli Isma Dhl bersyukur diberi kepanjangan umur untuk beramal di jalan Allah. Menurut beliau, musuh-musuh Islam kini yang sebelumnya menyerang Islam secara tidak langsung kini semakin berani menentang Islam secara langsung. Contoh yang paling terdekat adalah penentangan yang nyata oleh golongan musuh Islam terhadap undang-undang hudud iaitu RUU 355. Kita dalam jemaah Islam juga turut terkena kerana kita menentang mereka dengan jelas. Tapi usahlah kita khuatir kerana ini merupakan petunjuk kepada kejayaan dakwah kita kerana merasa terancam dengan kehadiran kita.

UFA: Kisah ghulam yang mencari kebenaran agama dalam banyak-banyak kepercayaan pada zamannya. Akhirnya beliau diperakui oleh gurunya dan diberi peringatan bahawa beliau akan ditempuhi ujian. Jadi selepas itu satu per satu ujian dihadapinya bagi menyebarkan agama tauhid ini dan akhirnya beliau mati syahid. Kita juga mungkin tidak terlepas dengan ujian ini hatta syahid sekalipun.

Ancaman dalam menyebar risalah ini memang ada sehinggalah hari kiamat. Jadi perlu rasa ancaman ini untuk kita berkerja lebih mantap. Hal ini kerana jika tidak rasai adanya ancaman dia akan merasa selesa dalam pergerakkan kehidupan dia, walaupun melakukan kerja-kerja dakwah tarbiyah itu sendiri, jika tiada rasa ancaman jadi dia akan buat persediaan yang tidak setara mana.

Sebenarnya apa yang kita ada dan persiapkan sekarang adalah lebih lagi diperlukan bagi menghadapi cabaran pada hari ini tapi belum tentu lagi untuk cabaran yang akan datang.

Apa yang perlu kita lakukan adalah kembali kepada kehidupan yang sederhana, berbelanja secara berhemah, ketepatan masa dan lasak tubuh badan (contoh pergi meeting tanpa sempat makan, mandi). Kerana apa yang kita lakukan sekarang ini perlu difikirkan yang akan datang. Di Pusat sendiri sudah rasa tekanan sebegini. Jadi cawangan hendaklah laju dalam mengikuti kelajuan dakwah kini. Begitulah jika tidak rasa ancaman walaupun ancaman itu sebenarnya dekat dengan kita.

Pemilihan Ketua
-kita terus tsiqoh dengan mana-mana lantikan
-asal bukan aku
-untuk memilih pemimpin perlu serius kerana dalam islam diri sendiri ada syarat pemimpin. Tidak seperti demokrasi yang hanya limitkan umur 21 tahun dan ke atas.
-lantik diri sendiri kalau merasakan tiada calon yang layak

Pemilihan Perwakilan
-agm lebih tgg dari syura
-matang dlm memilih
-pilih dengan penuh tanggungjawab dan kesedaran.

Friday, 3 February 2017

Cerpen berkenaan Virus Ukhuwah

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah diberi peluang setelah lama tidak bertandang di blog sendiri. Maafkanlah diri hamba yang kerdil ini. Moga Allah terus memberi kekuatan dan istiqomah dalam menulis kerananya. Aminn.

Tajuk yang ingin dibentangkan pada hari ini adalah virus ukhuwah. (sepertinya pembentangan yang formal hehe). Baiklah, dalam kalian berkawan, bersahabat pernah kalian mengalami perasaan iri hati, bersangka buruk tidak habis-habis, dengki, marah, rasa renggang darinya dan lain-lain perasaan mazmumah terhadap sahabat sendiri. Sekali lagi ingin ditanya, pernahkan kalian?

Sebenarnya ia kerap berlaku dalam kalangan kita sedar atau tidak sedar.

Moga Allah melindungi kita semua dari sifat-sifat mazmumah. Aminn. Justeru, alang-alang terjumpa sebuah cerita berkenaan ukhuwah, saya kongsi di sinilah ye. Moga bermanfaat. (Disclaimer: Not Mine, dapat dari emel, terima kasih sahabat yang mengirimnya, uhibbuki fillah)
Terimalah:

***
Hayati mengemas pakaiannya ke dalam "back-pack"nya, sementara menunggu laptopnya "turn-off". Kemudian, dia memperosokkan sahaja laptopnya ke dalam "back-pack"nya. Zuraida, teman sebilik Hayati memasuki bilik sambil membawa secawan kopi yang baunya semerbak sehingga memenuhi atmosfera bilik mereka.

"Awak tak tido umah malam ni ke?" tanya Zuraida.
Hayati sudah mengagak pertanyaan tersebut, lalu tersengih sahaja.

"Huhu.. Sedihnya saya tinggal sorang-sorang lagi dalam bilik malam ni, tak de orang nak tolong segarkan saya kalau mengantuk masa study," Zuraida merengek.

Hayati memakai tudungnya, sambil meniup-niup bucu tudungnya supaya kemas. "Alah awak ni, tiada keupayaan dan tiada kekuatan melainkan dengan Allah. Doa la banyak-banyak supaya Allah segarkan awak. 
Kadang-kadang, saya ni menggalakkan awak tido lagi ade lah."
Zuraida mencebik. "Awak tido rumah sape pulak malam ni?"

"Rumah, err.. rumah... Huda." Hayati teragak-agak ingin menyebut nama Huda, kerana ini merupakan kali ke-3 dalam minggu itu Hayati bermalam di rumah Huda. Huda merupakan junior kepada Hayati, dia merupakan seorang muslimah yang mempunyai keperibadian yang tulus, walaupun masih belum memahami tanggungjawab dakwah dan masih belum memahami sepenuhnya erti islam yang syumul.

Sejak Huda baru sampai ke bumi "Down Under" ini, Hayati telah pun menjalinkan hubungan akrab dengannya. Maklumlah, sayanglah sekiranya jiwa yang baik disia-siakan potensinya.
"Awak nak ikut, Zuraida?" Hayati cuba menghangatkan suasana.
Muka Zuraida terus berubah ceria, "Boleh juga!"

Walaubagaimanapun, ada konflik yang berlaku di dalam diri Hayati, dia dapati dalam dia memenangi hati mad’unya, kadang-kadang dia terasakan seperti mengabaikan hak sahabat-sahabatnya yang lain. Walaupun begitu, sahabat-sahabat serumahnya sangat "supportive", dan sering memberi kata perangsang, serta ada kalanya sekiranya Hayati tidak sempat melaksanakan tugas mengikut "duty roster" rumah, pasti ada sahabatnya yang lain akan membantunya, terutama sekali Zuraida.

"Tunggu saya kemas barang saya kejap ye!" kelam kabut Zuraida meletakkan cawan kopinya dan terus mengemas barang serta menyalin pakaiannya.
Hayati dan Zuraida berjalan menuju ke stesen bas.
Zuraida melihat jadual bas, "Pukul 5.30 p.m baru bas sampai, sekarang baru pukul 5.15 p.m"
Hayati mengangguk, "Tak pe lah, kita dok sini dulu sembang-sembang"
Zuraida sengih lagi.

"Awak tau tak…" Zuraida memulakan bicara.
"Tak tau, hehe" Hayati berlawak.
"Tak pe lah.. tak jadi bagitau la kalau cam tu.." Zuraida terus merajuk.
"Alah, awak ni.. Saya gurau je.." Hayati cuba memujuk.

Zuraida memaksa dirinya untuk senyum kembali. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini, dia sangat mudah terasa dengan Hayati. Jauh di lubuk hatinya, Hayati merupakan sahabat yang paling dia sayang dalam kalangan sahabat-sahabat serumahnya. Mungkin kerana itu dia mudah terasa dengan setiap tindak-tanduk Hayati. Namun begitu, Zuraida merupakan orang yang pandai menyembunyikan emosi di sebalik senyumannya yang kelihatan tenang.


"Awak tau tak, dalam banyak-banyak kawan kita.. Awak la yang paling saya….." belum sempat Zuraida menghabiskan ayatnya, tiba-tiba kedengaran bunyi hon dengan kuat.

"Assalamualaikum.. Nak pegi mana tu?" Rupa-rupanya Sufiah. Sufiah "pull-over" kereta kecilnya yang berwarna merah. "Hayati, Zuraida.. Naiklah kereta saye ni. Tak sudi ke naik kereta buruk ni"
"Kami nak ke North Melbourne , are you heading that way as well?" tanya Hayati.
Zuraida yang belum sempat menghabiskan ayatnya, terkejut dengan kedatangan Sufiah. Zuraida tergelak kecil di dalam hatinya, dia terbayangkan Sufiah ibarat Mr Bean yang memandu kereta kumbang. Perbualannya dengan Hayati termati begitu sahaja.

"Come in, come in. Have a ride. I’m heading to Docklands. Boleh drop korang kat North Melbourne ." Kata Sufiah.

Dalam kereta, Sufiah memasang lagu UNIC, Sahabat Sejati. Zuraida yang duduk di belakang tiba-tiba membuka bicara, "Yati, ni lagu untuk awak." Hayati senyum, "Terima Kasih". Sufiah pula mencelah, "Saya ni tak de orang nak dedicate lagu ke?". Ketiga-tiga orang sahabat tersebut tertawa.

Zuraida memandang Hayati yang sibuk berceloteh bersama Sufiah. Zuraida mengalihkan pandangannya ke luar. Lagu terus berkumandang,
"Ku biarkan pena menulis
Meluahkan hasrat di hati
Moga terubat segala
Keresahan di jiwa
Tak pernah ku ingini"

Mungkin Hayati tidak mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh Zuraida.

Zuraida sangat bersyukur kepada Allah, kerana mengurniakan seorang sahabat yang mempunyai semangat juang yang tinggi. Hayati merupakan sahabat fillah yang pertama yang Zuraida kenali. Hayati banyak memberi sokongan kepada Zuraida di dalam pelajaran, maklumlah Hayati pelajar yang cepat tangkap pelajaran. Namun begitu, sejak mereka melangkah ke tahun dua universiti, dan sejak mereka menerima kedatangan adik-adik baru, mereka jarang dapat menghabiskan masa bersama sepertimana dahulu. Zuraida sangat khuatir sekiranya dia ketinggalan, dari segi pelajaran, dari segi dakwah, dari segi tarbiyah, dari segi bilangan mad’u, dari segi segala segi.

Zuraida terus memerhatikan Hayati, ditenungnya sahabat itu puas-puas dan berdoa di dalam hatinya, "Ya Allah terimalah segala amal sahabat ku ini, dan ikhlaskan dia. Dan kuatkan dia sekira dia berasa lemah, dan ikhlaskan dia tatkala dia mengharapkan sesuatu selain Engkau"

Tiba-tiba, Zuraida terasa hatinya sangat lapang. Inilah yang dia mahu rasakan, selama ini perasaannya risau, sedih, bercampur-baur apabila Hayati sudah jarang bersamanya.

Benarlah seperti nasihat Kak Elin, "sekiranya kita ada rasa berat hati dengan seseorang, kita segera doakan kebaikan untuk dia, insya-Allah, syaitan yang cuba hasut kita tu akan lari lintang pukang. 
Dan malaikat pula akan mendoakan perkara yang sama untuk kita."

Ini membuatkan Zuraida tersedar, bahawa kebergantungan yang mutlak itu terletak pada Allah. Dan sekiranya seorang insan itu tidak diberi penghargaan, dia tetap menjadi seperti pokok. Pokok yang menurunkan buah apabila dibaling batu.

Zuraida mahu berlari seperti orang lain, berlari menuju jannah insya-Allah, sama-sama tabah dan kuat dalam membawa risalah perjuangan anbiya’. Tapi, kadang-kadang, dia letih. Kerana lupa mengukur kapasiti diri. Mungkin kerana terlupa, Allah melihat usaha seseorang, dan bukan natijahnya.
Tapi, menjadi kebiasaan manusia. Sangat mengharapkan hasil positif di depan mata.
Zuraida terkenangkan Nabi Nuh, kisah dakwahnya di dalam Al Quran. Di dalam surah Nuh, Nabi Nuh merintih kepada Allah, beratus-ratus tahun, pagi sehingga malam menyeru kaumnya, tetapi hasilnya, hanya menyebabkan kaumnya semakin jauh daripada Allah.

"Ah, masakan aku yang baru setahun jagung dalam dakwah ini, mudah sangat putus asa ," getus Zuraidah dalam hati.
Hayati melihat "rear-view mirror", ternampak muka Zuraida yang serius.
Hayati membisikkan sesuatu kepada Sufiah, dan Hayati membawa keluar "handphone"nya.

Hayati menaip sms, "Salam, Huda. Maaf akak tak jadi ke rumah awak malam ni. 
Ada hal sikit. Nanti akak hantar pengganti akak pergi umah awak ye, hehe."
Sufiah membuat "announcement", "Baiklah, kita dah sampai Docklands. Selamat makan aiskrim Dairy Bell, jangan lupa saya."

Zuraida tercengang, Hayati turun dari kereta dan membuka pintu belakang, lalu menarik tangan Zuraida. Zuraida tercengang, "Eh, tadi Sufiah kata dia yang nak ke Docklands." Sufiah terus memecut laju ke destinasi barunya. Kereta kecil merahnya berderum hebat.
"Jom la kita makan aiskrim sama-sama. Dah lama tak "outing" berdua," Hayati mengajak Zuraida.

Zuraida akur sahaja. Dia terasa pelik, kenapa tiba-tiba Hayati tidak jadi pergi ke rumah Huda..

Hayati membeli aiskrim Chocolate Chips, dan mengambil 2 batang sudu kayu, "Jom dok kat tepi jeti tu.."


Hayati mula bicara, "Tadi kat stesen bas, awak nak cakap sesuatu kan…."
Zuraida tersenyum sahaja.
Hayati bicara lagi, "Awak tak boleh tipu saya dengan senyum tenang awak nih…."

Zuraida tersenyum lagi. Tapi, senyuman itu diikuti dengan air mata.

"Tadi saya nak cakap lain, tapi sekarang Allah ilhamkan saya untuk cakap sesuatu yang lain kepada awak," kata Zuraida, matanya berkaca-kaca.
Hayati mengangguk, "Cakaplah.."
"
Kalau awak nak masuk jannah, jangan tinggalkan saya." Zuraida berkata sambil menahan air matanya yang semakin laju.

Hayati sangat terharu. Dia tidak pernah terbayangkan bahawa ada orang yang akan berkata begitu kepadanya, Hayati tak tahu nak respon macam mana, sedangkan dia sendiri pun terhuyung-hayang dalam perjalanan mencari syurga Allah.


Maksud sepotong ayat Al Quran, " Di hari akhirat, terputus segala perhubungan kecuali orang-orang bertaqwa. " Sungguh mudah untuk bercakap soal ukhuwah islamiyah. Namun nak menzahirkannya payah, apatah lagi hendak mengukuhkannya di dalam hati.

"Saya tahu Allah beri awak banyak kelebihan berbanding saya, moga Allah melindungi saya daripada hasad dan dengki, dan moga Allah menjauhkan awak daripada ‘ujub dan riya’ ," Zuraidah menghela nafas panjang. Aiskrim Chocolate Chips tidak mampu menarik seleranya.
Hayati terpaku. Dia seakan-akan dapat membaca apa yang dirasai oleh kawannya. Benarlah seperti apa yang dia rasai selama ini, tindak-tanduknya yang banyak mengabaikan hak-hak sahabat-sahabatnya mampu mengundang virus ukhuwah.

"Saya nak minta maaf atas salah silap saya. Saya tau saya banyak tinggalkan awak sorang-sorang. I am lost myself. Kononnya keluar berdakwah tapi, banyak yang lain pula saya abaikan," Hayati mula meluahkan isi hatinya.

Zuraidah berkata, "Saya pun minta maaf, asyik kadang cebik muka. Tapi, tak perlu lah kita mengungkit salah silap kita yang dahulu. Apa yang sudah tu sudah.."
Hayati menyambung, "Betul? Kosong-kosong!"
Zuraidah pula berkatai, "Kosong-kosong!"

"Insya-Allah, kita akan saling mengigatkan. Time kena study, kita pulun habis-habisan. Time kena keluar berdakwah, kita mujahadah sehabis baik, jaga amal fardi.. Kejutkan qiyam, ingatkan supaya puasa sunat!" Hayati mula meng"list-out" perjanjian di antara mereka.

"Kena tunai hak pada semua pihak yang ada hak ke atas kita, kena berlapang dada dan menerima setiap sahabat kita seadanya, saling memperingatkan, walau kita "fastabiqul khairat", mudah-mudahan ada persaingan sihat.. dan last sekali …outing kat charcoal chicken dengan geng rumah dua minggu sekali, hehe.." Zuraida menyambung.

"Lillahi ta’ala!" Zuraida dan Hayati menyebut kalimah "kerana Allah ta’ala" serentak. Mereka tersenyum sesama sendiri.

"Jom makan aiskrim ni dah cair!!" Zuraida menyogok sesudu aiskrim kepada Hayati.
"Hehe.." Hayati tergelak kecil.
"Er… kita nak tido mana ye malam ni?" Zuraida bertanya.
"Hehe.. tak pe, kita tido kat bilik kita yang best tu lah… Sufiah tido kat umah Huda, insya-Allah" jawab Hayati. Zuraida terbayang Sufiah bersama kereta merahnya menuju ke rumah Huda. Sufiah memang seorang sahabat yang "sporting" dan lucu.

Kedua-dua sahabat itu tersenyum. Moga Allah memberkati persahabatan mereka, dan meneguhkan hati-hati mereka di atas jalan dakwah hingga bertemu denganNya. 
Itulah doa mereka berdua.
***
Sekian. Moga Allah sentiasa jaga hati ini dan ukhuwah kita dengan sahabat fillah kita dari virus-virus ukhuwah. Aminn Ya Rabb. 


Monday, 19 December 2016

Ukhuwah: Pulihkan ukhuwah dek virus ukhuwah

Assalam. Hai blog, lama tak jumpa hehe. Saya nak kongsi perbualan ini setelah seorang sahabat yang berjaya pulihkan kembali ukhuwah filllah mereka. Alhamdulillah.

........................
Husna: Hihi. Kan kita yang minta nasihat teha hari tu suruh slow talk

Husna: Tapi saya tak boleh slow talk, sebab beliau selalu menjauhkan diri

Husna: So, sy tulis surat

Fatihah: Sweetnya 😂😍

Fatihah: Alhamdulillah happy for u 😆

Husna: Sambil tulis surat tu sambil nangis

Husna: Hihi

Husna: Memang tulis dari hati

Fatihah: MasyaAllah

Husna: Pastu minta doa dari teha

Husna: Dan doakan untuk dia juga

Fatihah: Alhamdulillah terharunya

Husna: Yakin dgn hadis, doa yang termakbul adalah doa seorang sahabat kepada sahabatnya dalam keadaan dia tak tahu kita doakan dia

Fatihah: Allahuakbar

Husna: Lagi satu, kak mariam pernah share. Doakan sahabat kita atau orang lain dgn ayat:  Ya Allah, pandanglah dia dengan pandangan rahmatMu...dan terus doakan dia

Husna: Huhu..ayat yang sangat touching

Fatihah: Jazakillah khair husna..huhu

Husna: Jazakillahu khair juga teha

Husna: Nak nangis pulak sekarang

Fatihah: Hehe takde pape husna

Fatihah: Alhamdulillah rahmat Allah bagi terlalu besar..

Fatihah: Cuma kadang kala sebab dosa sendiri yang rasa terhijab dari rasa bersyukur tu ..huhu

Husna: Tapi saya tak tahu lagi sampai sekarang sebab apa dia mcm tu

Husna: Tunggu dia bagitahu sendiri  (oh)

Husna: Alhamdulillah ada sahabat sekeliling yang prihatin

Fatihah: Alhamdulillah bersyukur dapat kenal husna juga

Husna: Alhamdulillah..teruskan ingatkan saya ya teha

Husna: Love you💋

Fatihah: Ahabbakilladzi ahbabtini lahu 💟

..........................
Solehahnya sahabat-sahabat ini. Ya Allah, Engkau jaga dan rahmatilah mereka yang berukhuwah kerana MU. Moga mereka dipertemukan kembali ke syurga Firdaus-MU. Aminn Ya Rabb.

Monday, 11 July 2016

Hukuman yang tidak terasa

Assalamualaikum wbt. Sudah lama tidak mencoret di sini. Menjenguk pun jarang sekali. Maafkan saya hamba yang penuh kekurangan ini. Alhamdulillah baru-baru ini mendapat mesej whatsaap yang bertajuk seperti tajuk post ini, Hukuman yang tidak terasa. Ya Allah selama ini Allah telah menghukum ku..hukuman yang membuat aku lebih jauh dari Mu. Ampunkan dosa-dosaku ya Allah..

Justeru aku ingin berkongsi dengan mereka yang sempat menjenguk post ini. Terimalah 'Hukuman yang tida terasa' moga mendapat ibrahnya. Aminn.

Seorang murid mengadu kepada gurunya: "Ustadz, betapa banyak kita berdosa kepada Allah dan tidak menunaikan hakNya tapi saya tidak melihat Allah menghukum kita".

Guru menjawab dengan tenang:
"Betapa sering Allah menghukum kamu tapi engkau tidak terasa"

"Sesungguhnya salah satu hukuman Allah yang terbesar yang menimpamu wahai anakku, ialah: Sedikitnya Taufiq yang Allah beri untuk mengamalkan ketaatan dan amal amal kebaikan".

Tidaklah seseorang diuji dengan musibah yang lebih besar dari "kekerasan hati dan kematian hati".

Sebagai contoh:
Sedarkah engkau, bahwa Allah telah mencabut darimu rasa bahagia dan senang dengan munajat kepadaNya, merendah diri kepadaNya, sujud di hadapanNya.
Sadarkah engkau tidak diberikan rasa khusyu' dalam solat..?

Sedarkah engkau, *bahwa beberapa hari2 mu telah berlalu dari hidupmu, tanpa membaca Al-Qur'an...?

Sedarkah engkau sudah tidak tersentuh dengan Ayat Ayat Al-Qur'an, seakan engkau tidak mendengarnya... ?

Sedarkah engkau bahawa telah berlalu berapa banyak malam yang panjang sedang engkau tidak melakukan Qiyamullail di hadapan Allah, walaupun terkadang engkau tidak tidur malam...?

Sadarkah engkau bahwa telah berlalu atasmu musim musim kebaikan seperti: Ramadhan.. Enam hari di bulan Syawwal.. Sepuluh hari pertama bulan Dzulhijjah dan lain2. tapi engkau belum diberi taufiq untuk memanfaatkannya...?

Hukuman apa lagi yang lebih berat dari itu..???

Engkau merasakan beratnya mengamalkan banyak ketaatan (amal ibadah)....?
Tidakkah Allah menahan lidahmu untuk berdzikir, beristighfar dan berdo'a kepadanya....?

Tidakkah terkadang engkau merasakan bahwa engkau mengalah di hadapan nafsu...?

Hukuman apa lagi yang lebih berat dari semua ini..???

Sedarkah engkau, amat mudah bagimu mengumpat, mengadu domba, berdusta, memandang rendah pada orang lain, memandang kepada yg haram..?
Sedarkah engkau, bahwa Allah membuatmu lupa kepada Akhirat, lalu Allah menjadikan dunia sebagai perhatian terbesarmu...?

Ini semua hanyalah beberapa bentuk hukuman Allah kepadamu, sedang engkau tidak menyedarinya...

Waspadalah wahai anakku kerana hukuman yang paling ringan dari Allah terhadap hambaNya ialah: Hukuman yang terasa pada harta, atau anak, atau kesehatan.

Sesungguhnya hukuman terberat adalah "Hukuman yang tidak terasa" iaitu pada kematian hati, lalu ia tidak merasakan nikmatnya ketaatan, dan tidak merasakan sakitnya dosa.

Wahai anakku, Perbanyaklah di siang dan malam mu, amalan taubat dan istighfar, semoga Allah menghidupkan hatimu...

Aminn ya Rabb.

Thursday, 30 June 2016

Do'a di Malam Lailatul Qadar yang Akan Mengubah Hidup Anda

Assalamualaikum wbt. Jemput tonton video ini dengan baki Ramadan yang tinggal beberapa hari je lagi ...

Sunday, 10 January 2016

Tempat Baru Saya 2

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah setelah sekian lama blog ini tidak disentuh, akhirnya sekarang digerakkan hati ini oleh Pemilik Segala Hati, untuk membuat sedikit coretan di sini.

Saya alhamdulillah baik-baik sahaja sejak mendapat pekerjaan baru di sini. Ini merupakan pekerjaan saya yang kedua di Selangor sejak berhijrah dari Penang. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah swt. Sebenarnya saya bekerja di sini pada pertengahan bulan 4 2015 iaitu tahun lepas. Haa, sekarang baru nak cerita. Hehe.

Banyak perkara yang telah berlaku sejak kali terakhir saya membuat coretan di sini. Padahal tulisan saya yang lepas2, saya sudah pun berada di tempat baru ini. Cuma sekarang baru tergerak nak menaip. Sebenarnya, pada bulan 8 yang lalu saya telah kehilangan ibunda saya yang tercinta pada 10 akhir Ramadhan. Sungguh Allah lagi menyintainya berbanding saya, hamba yang hina dan dina ini. Alhamdulillah bila terbit rasa rindu yang mendalam sedekahkan sahaja Al-Fatihah buatnya sehingga hati rindu ini dapat terubat. Alhamdulillah. Umi, kakak sayang umi kerana Allah. Mohon juga disedekahkan AlFatihah buat umi saya yang berada di sana yang insyaAllah dapat bersama arwah abah saya juga..alhamdulillah.

Seiring dengan masa dan umur, semakin banyak perkara yang perlu ditempuhi. Sering kali rasa diri ini tidak sekuat dulu. Tidak seproduktif dulu. Sangat memerlukan kekuatan dari yang Maha Esa, Maha Kuat, agar dianugerahi diri ini kekuatan untuk menghadapi baki umur yang ada ini. Iyalah, kita pun tak tahu bila pula akan dijemput ilahi walaupun dikatakan tidak menghidapi penyakit.

Allahu. Ya Allah mohon ya Allah beri aku petunjuk untuk aku guna masa yang dianugerahimu untuk aku memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya menghabiskan masa yang diamanah begitu sahaja. Kekuatan untuk berdikari tanpa bergantung terus dengan orang lain. Kekuatan untuk terus istiqomah dalam melakukan amal kebajikan. Kekuatan untuk terus berbakti kepada ummah. Kekuatan untuk terus menulis ke arah kebaikan. Allahu. Astaghfirullahalazim. Ampunilah segala dosa- dosa ku ya Allah. Jangan kerana dosa-dosa ini menyebabkan aku semakin jauh darimu. Astaghfirullahalazim.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda. Wallahamdulillahirabbil alamin.

Moga tulisan yang tak seberapa ini juga menjadi titik tolak untuk penulisan yang seterusnya. InsyaAllah, dengan kehendakNya.

Thursday, 3 September 2015

Hadhanah (Hak Penjagaan Anak)

Seperti yang disiarkan di laman web ISMADHL.

Benarkah ibu atau bapa yang bukan Islam boleh mendapat hak penjagaan anak apabila suami isteri itu berpisah? Untuk ketahui hal ini lebih lanjut sila baca artikel yang disunting daripada penceramah Ustaz Fauzi Asmuni mengenai tajuk, Hadhanah.
Bermulanya kontroversi mufti perlis yang mengeluarkan fatwa bahawa hak penjagaan anak adalah terhadap ibu atau bapa yang dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya iaitu syafaqah. Hadhanah ini timbul apabila penentuan siapa yang akan menjaga anak apabila seorang ibu atau bapa berpisah hidup dan mati. Isu hadhanah ini lebih utama apabila salah seorang ibu atau bapa yang berpisah, tidak beriman dengan agama Islam.
Kes tahun 2009 suami seorang muslim manakala isteri beragama hindu mempunyai 3 anak yang belum baligh. Si suami membawa kes ke mahkamah syariah dan akhirnya Berjaya mendapat hak hadhanah. Si bapa ini telah menukar nama anak-anaknya dan didik mereka dengan ajaran Islam. Kemudian si ibu menuntut kembali di mahkamah tinggi, lalu menang kes menuntut penjagaan anak-anak. Jadi berlaku konflik perundangan di sini kerana berlainan keputusan. Di sini akan diterangkan konsep hadhanah berdasarkan syarat dalam Islam.
Persoalan yang paling asas
Anak itu sepatutnya diserahkan kepada siapa? Kefahaman kebanyakan muslim adalah anak yang belum baligh mestilah diserahkan kepada ibu atau bapa yang ISLAM. Yang menjadi kontroversi adalah apabila mufti Perlis mengeluarkan fatwa bahawa anak yang belum baligh mesti dijaga oleh ibu atau bapa yang paling kuat kasih sayangnya atau syafaqah walaupun mereka bukan Islam.
Pandangan Ustaz Fauzi dan rakan-rakan (lulusan agama dan peguam-peguam muslim)
Mereka menyimpulkan isu agama sangat penting termasuklah hadhanah. Yang menjadi fokus di sini adalah anak yang belum baligh. Bagi yang sudah baligh tidak menjadi masalah kerana mereka boleh membuat keputusan sendiri. Seperti yang ramai maklum, seorang ibu lebih belas daripada seorang ayah. Kita juga maklum bahawa membesarkan anak-anak menjadi muslim yang baik adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, masyarakat, jiran tetangga dan bahkan Negara!
Kepentingan menjaga aqidah Islam seseorang anak itu adalah berdasarkan dalil Nabi Ibrahim memberi wasiat kepada keturunannya;
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;”2:127
“”Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;” 2:128
“(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.”2:131
Termasuk juga Nabi Yakub:
“(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.”
Wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya yang pertama adalah larangan mensyirikkan Allah SWT;
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”31:13
Dalil-dalil ini menunjukkan kewajipan ibu bapa mendidik anaknya menjadi muslim sehinggalah ke akhir hayatnya. Hal ini penting kerana dosa orang yang kafir terhadap Allah adalah dosa yang sangat besar kerana Allah tidak akan mengampuni dosa mereka sehinggalah mereka bertaubat dengan sesungguhnya iaitu taubat nasuha. Manakala dosa selain dari itu akan terhapus walaupun tidak meminta taubat dengan syarat melakukan amalan-amalan yang baik seperti berwuduk, bersedekah, zikirullah dan lain-lain.
Manakala dosa syirik Allah tidak akan ampun dengan begitu mudah. Ingatkah lagi kisah Abu Talib bapa saudara Rasulullah SAW yang begitu banyak berjasa kepada Rasulullah dalam menyampaikan dakwah kepada umat? Malangnya beliau tidak turut beriman bersama sahabat yang lain dan memilih untuk tetap agamanya walaupun ajalnya bakal menjemput ketika itu. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW balasan apakah terhadap bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak berjasa itu  walaupun beliau bukan muslim? Rasulullah SAW hanya mampu berdoa supaya diringankan azab kepada bapa saudaranya itu. Iaitu kakinya dibakar sehingga menggelegak otaknya.
Kenapa Abu Talib yang baik itu tetap mendapat azab walaupun beliau begitu baik kepada Rasulullah SAW? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana Abu Talib mensyirikan Allah Azzawajalla.
Mari kita susuli pula dengan kisah Saidina Umar al Khattab ketika menjadi Khalifah. Semasa pemerintahan Saidina Umar, perluasan kuasa berlaku dengan rancak sehingga tentera Islam ketika itu berjaya menawan salah satu jajahan Rom. Ketika itu terdapat seorang sahabat ingin menikah dengan Wanita ahli kitab (Kristian). Saidina Umar tidak membenarkan sahabat itu menikah dengan Wanita itu walaupun ada dalil al-Quran membenarkannya. Saidina Umar khuatir hasil pernikahan itu anak mereka tidak akan terjamin agamanya sama ada Islam atau Kristian. Pada asalnya kenapa terdapat dalil yang membenarkan lelaki Islam menikah dengan Wanita ahli kitab kerana lelaki Islam akan menjadi dominan sebagai ketua keluarga lalu hasil pernikahan itu anak-anak akan terjamin agama Islamnya. Manakala terdapat lelaki Islam yang tidak dominan selepas menikahi Wanita ahli kitab pada ketika itu kerana mereka menikahi wanita yang buruk akhlaknya sehingga menjadikan lelaki Islam itu tidak dominan.
Sebenarnya ketika Saidina Umar menghalang sahabat itu menikahi wanita ahli kitab tersebut, peristiwa ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan sahabat. Walaubagaimanapun akhirnya ia dapat menyelesaikan masalah larangan orang Islam menikahi ahli kitab kerana walaupun dia ahli kitab dia masih lagi seorang kafir. Hal ini menunjukkan penentuan agama pasangan adalah sangat penting bagi menjaga aqidah anak yang bakal dilahirkan.
Dalil-dalil umum ini kebanyakan daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie. Jelas dalam mazhab shafie anak mestilah diberi hak penjagaan kepada orang Islam dan yang paling baik agamanya. Misalnya apabila berlaku situasi berikut, maka pilihannnya adalah:
Islam vs Islam = paling baik agamanya
Islam vs kafir = Islam
Kristian vs Yahudi = Kristian
Yahudi vs Hindu = Yahudi
Jelas dalam Islam orang kafir tidak boleh menjadi wali (penguasa/penjaga) kepada orang Islam. Penting memilih wali yang betul kerana walilah yang berkuasa membuat sesuatu keputusan kepada si anak.
Ketahuilah bahawa Allah tidak akan sesekali memberi peluang dan ruang kepada orang kafir walau sedikitpun. Sesungguhnya Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Berikut antara dalil ketinggian Islam:
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan dan tidak (pula) pada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” 9:29.
Kaedah yang dipegang oleh jumhur ulamak adalah semua anak-anak yang baru dilahirkan adalah suci atau dalam keadaan fitrah iaitu lahir sebagai Islam. Ibu bapalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani mahupun majusi.
Sekarang sudah jelas mengenai hadhanah bahawa anak haruslah diberi kepada orang Islam. Yang menjadi kekeliruan umat sekarang adalah apabila Majlis Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa bahawa dalam mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan anak yang belum baligh diberikan kepada ibu atau bapa yang paling tinggi syafaqahnya walaupun bukan beragama Islam. Adakah benar kedua-dua imam besar ini mengeluarkan fatwa sedemikian? Jawapannya adalah benar.
Walau bagaimanapun kedua-dua mazhab tersebut menetapkan syarat yang begitu ketat jika hak penjagaan anak diberi kepada ibu atau bapa yang bukan muslim. Syarat tersebut adalah anak-anak itu hendaklah dijaga dengan cara hidup Islam supaya dia mendapat didikan yang sewajar sebagai muslim. Syarat itu begitu ketat dan teliti sehingga diterangkan satu persatu yang anak itu hendaklah tidak diberi minuman arak, tidak diberi makan khinzir, tidak ajak ke rumah ibadat selain Islam, si ibu atau bapa hendaklah dipastikan tinggal di sekelilingnya adalah orang Islam dan lain-lain lagi. Jika khuatir ibu atau bapa tidak boleh menjaga anak itu dengan didikan Islam yang baik maka anak itu hendaklah diserahkan kepada sekumpulan orang Islam yang boleh memberi didikan agama yang baik kepadanya.
Almarhum Dr. Wahbah Zuhaili juga menafsirkan hal yang sama iaitu hendaklah anak itu bersama dengan ibu atau bapanya yang bukan muslim hingga habis tempoh penjagaan. Sepanjang tempoh penjagaan anak itu mesti tidak didedahkan dengan hal-hal yang haram dalam Islam. Jika khuatir mereka akan lakukannya, maka anak itu hendaklah diserahkan kepada salah seorang muslim yang boleh mengelakkan anak-anak itu menjadi rosak. Rosak di sini termasuklah rosak aqidah. Fatwa ini jika mengikut situasi di Malaysia, ia sangat sukar dilaksanakan memandangkan rakyat di Negara kita adalah berbilang kaum dan agama.
Bagi hukum hadhanah yang umum, anak haruslah diberi kepada ibu jika tidak kepada nenek dan seterusnya. Yang paling utama anak itu hendaklah dibesarkan dengan cara muslim. Apa yang berlaku di Malaysia sebelum ini, ibu atau bapa yang berusaha mendapat anak itu bukanlah melibatkan syaqafah  tetapi tidak mahu anaknya menjadi muslim sehinggakan sanggup menukar nama anak mereka kepada nama bukan Islam.
Ada yang menyokong tindakan bukan Islam boleh jaga anak adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW pernah memberi pilihan anak itu memilih ibu atau bapa. Di sini menunjukkan Rasulullah tidak mewajibkan penjaga anak itu muslim. Si bapa yang merupakan muslim meminta pandangan Rasulullah SAW, manakala si ibu turut meminta pandangan Rasulullah sebagai ketua Negara akan hal ini. Apakah yang Rasulullah SAW lakukan? Rasulullah SAW menyuruh si anak itu pergi ke tengah-tengah antara ibu dan ayahnya. Lalu Rasulullah SAW menyuruh ibu dan bapa tersebut memanggil anak tersebut. Pada awalnya anak itu berpaling ke arah ibunya. Melihat itu, Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud; “Ya Allah berilah petunjuk kepadanya”. Lantas anak itu berpaling kepada bapanya yang muslim itu. Jelas di sini menunjukkan walaupun Rasulullah SAW memberi pilihan kepada anak itu memilih antara ibu dan bapa tetapi tidak redha jika anak itu memilih ibunya yang bukan muslim sehingga berdoa kepada Allah SWT. Dalam sejarah Rasulullah SAW dan sahabat tidak pernah diberi hak penjagaan kepada yang bukan Islam.
Kes yang melibatkan bukan Islam yang menjaga anak Islam adalah kes yang terpencil. Kes ini boleh berlaku apabila ibu atau bapa yang Islam tidak layak menjaga anak kerana masalah kewangan yang sangat teruk atau terlibat dengan akhlak yang buruk, kaki pukul misalnya. Jadi mazhab Hanafi dan mazhab shafie boleh diguna pakai tapi dengan meletakkan syarat yang ketat seperti juga yang digariskan oleh kedua-dua mazhab tersebut.
Kesimpulannya, Islam sangat menitikberatkan penjagaan anak-anak kecil. Siapakah penjaga mereka? Bagaimana mereka dijagakan? Hal ini adalah semata-mata untuk melahirkan umat Islam yang hebat lagi diredhai Allah SWT. Oleh itu, hadhanah perlulah dititikberatkan terutamanya bagi anak-anak yang belum baligh supaya memilih orang Islam sebagai penjaga, yang mempunyai belas kasihan yang tinggi, meletakkan syarat yang ketat kepada penjaga terutama penjaga bukan Islam. Pandangan jumhur lebih menepati iaitu mengutamakan orang Islam sebab hadhanah bukan sekadar perebutan penjagaan anak milik siapa tetapi demi menjaga agama anak itu agar terus terjamin. Hal ini juga bukanlah sesuatu yang enteng kerana bukan sahaja melibatkan ibu bapa anak itu sahaja bahkan masyarakat dan Negara iaitu mestilah memastikan anak itu membesar dengan didikan Islam yang baik sehingga anak itu baligh terutamanya.
Wallahua’lam.