Thursday 26 March 2015

Jadilah Hamba yang Bersyukur! - Kisah Teladan

Pada zaman Nabi Musa AS, terdapat seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Orang itu begitu miskin sehingga pakaian yang dipakainya bercompang-camping, lusuh lagi berdebu. 

Si miskin itu kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, "Ya Nabiyullah, doakanlah untukku agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya-raya." 

Nabi Musa AS tersenyum mendengar permintaan si miskin itu lalu berkata, "Wahai saudaraku, bersyukurlah kamu kepada Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya." 

Si miskin itu terkejut dan berasa kesal dengan jawapan Nabi Musa AS lalu berkata, "Bagaimana aku dapat bersyukur jika makan pun aku jarang-jarang manakala baju yang aku miliki hanya ini sahaja," katanya sambil menunjuk-nunjuk baju compang-campingnya itu. Akhirnya si miskin itu pulang dengan hampa. 

Beberapa waktu kemudian datang seorang kaya menghadap Nabi Musa AS. Orang itu bersih badannya dan rapi pakaiannya. 

Si kaya itu berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Nabiyullah, doakanlah untukku agar aku menjadi orang miskin kerana terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu." 

Nabi Musa AS juga tersenyum dengan permintaan si kaya itu lalu berkata, "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT." 

Segera dijawab si kaya itu, "Ya Nabiyullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT? Allah SWT telah memberikan aku mata yang dengannya aku dapat melihat. Memberiku telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT juga telah menganugerahkan aku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberikan aku kaki yang dengannya aku dapat berjalan. Katakanlah kepadaku, bagaimana mungkin aku tidak mensyukuri-Nya?" jawab si kaya itu dengan mantap. Akhirnya si kaya itu pulang ke rumahnya. 

Setelah itu, menjadilah si kaya itu semakin kaya kerana Allah SWT telah menambah kekayaannya kerana dia selalu bersyukur. Manakala si miskin itu menjadi bertambah miskin kerana Allah SWT telah mengambil kembali banyak nikmat-nikmat yang diberikan kepada si miskin itu yang lupa sekali untuk mensyukurinya termasuklah pakaian compang-campingnya itu!

Sekian. Jom jadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur! Alhamdulillah.
Sumber yang diubah suai diambil dari: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/1001kisahteladan4.htm

No comments:

Post a Comment