Monday 3 September 2018

Ujian berlaku kepada setiap insan

Assalamualaikum wbt.

Sebuah entri pemujuk diri insyaAllah.
Daripada tajuk di atas banyak pula dapat dihuraikan hehe. Sebab saya yang letak tajuk jadi saya tahu apa yang saya nak cakap kan? Hehe.

Begini semua maklum setiap manusia yang hidup di muka bumi ini tidak akan terlepas mengalami ujian hidup. Apatah lagi manusia yang dikatakan beriman kepada Allah SWT. Seperti dalam surah al-ankabut ayat 2, yang ada menyebut Allah tidak akan membiarkan orang yang beriman tanpa memberinya ujian!

Pernah tak sesiapa mengalami akan hal di mana dia rasa bahagia sangat dengan kehidupan dia sehingga dia terfikir akan ujian yang akan datang tiba-tiba mungkin akan dihadapinya. Kuat atau tidak dia pada ketika itu? Hal ini bagi sesiapa yang meyakini dalil al-ankabut:2. Nak tak nak memang akan tempuh. Sebab tempat yang tiada ujian hanyalah di syurga akhirat nanti!

Baik dipendekkan cerita saya mengalaminya. Bertapa selepas berumah tangga saya rasa bahagia alhamdulilah kerana memiliki seorang suami yang soleh dan berusaha untuk memahami diri ini seadanya. Kemudian tidak lama kemudian kami bakal dikurniakan anak insyaAllah. Kemudian kami menghitung hari menunggu hari yang bahagia itu. Ketika itulah saya terfikir akan ujian yang akan saya tempuh. Sebenarnya banyak sangat nikmat bahagia ingin diungkapkan tapi cukuplah ringkasannya sahaja.

Sehinggalah pada usia kandungan saya 8 bulan saya diuji dengan sakit Symphisis Pubis Dysfunction/Diethasis. Sakit ini apabila di-google dalam 300 ibu mengandung akan ada seorang mengalaminya. Data mungkin berbeza-beza. Wallahualam. Nak beritahu di sini bahawa sakit ini tidak semua ibu mengandung akan mengalaminya. Sebab itu bila dengar berita orang mengandung dan akhirnya dapat anak yang sihat dan comel macam senang je kan rezeki depa dapat?

Tapi ingatlah sebenarnya setiap kesenangan seseorang dapat adalah ada bahagiannya tersendiri. Ingat dalil Allah berkenaan setiap orang ada bahagiannya tersendiri (an-nisa':32). Jadi janganlah kita rasa iri hati dengan nikmat yang mereka dapat. Sedangkan kita tidak tahu kesukaran apa yang telah mereka lalui dan akan lalui. Sama juga dengan kita sendiri. Sebab itu dalam Islam jika berlaku ujian kita kena sabar. Sabar dan solat seperti disarankan dalam surah al-Baqarah:45-46).

SPD ringkasnya adalah sakit dimana tulang di tengah pelvik jadi renggang kerana pelepasan hormon relaksin yang menyebabkan tulang pelvik jadi kurang stabil. Jadi sebarang pergerakan melibatkan tulang pelvik akan sakit sehingga akan kedengaran bunyi tulang sama ada jelas atau tidak. Hasilnya apabila nak duduk, atau bangkit, baring, mengiring, berjalan (angkat kaki) akan sakit. Jadi menyukarkan untuk melakukan kerja seharian. Di sini ujian kepada para ibu yang mengalaminya. Tahap kesakitan seseorang juga tidak sama. Ada yang mudah sembuh dan ada yang sangat memakan masa, ada yang sehingga bersalin dan ada yang beberapa ketika selepas bersalin. Ingat Allah akan uji seseorang mengikut kemampuannya (al-baqarah:286).

Jadi sebagai pemujuk kepada diri ini dan kepada ibu-ibu yang mengalaminya sama-samalah kita bersabar dengan sedikit ujian yang Allah kurniakan kepada kita. Kita kena selalu muhasabah dengan nikmat yang telah Allah berikan dan sedang berikan kepada kita. Dalam kita dapat sakit macam ni Allah bagi nikmat suami yang baik, keluarga dan sahabat yang memahami dan pelbagai lagi. Nikmat apa lagi yang dapat kita dustakan? (Ayat dalam surah Ar-Rahman). Sungguh Allah sangat penyayang kepada kita. Masa yang kita ada ini banyakkanlah melakukan amal soleh. Banyakkan solat sunat, jaga solat wajib, zikir, berdoa dan pelbagai lagi yang kita mampu. Jangan pula kata 'saya sakit jadi macam mana nak solat?' Di sini kita belajarlah rukhsoh solat. Kita boleh solat atas kerusi atau atas katil jika betul tak larat.

Selain itu ikutlah apa yang doktor dan pakar fisioterapi nasihatkan. Ingat kita hanya mampu berusaha tetapi Allah yang tentukan.

Moga ujian yang dihadapi ini mendekatkan kita lagi kepada Allah yang Maha Penyayang dan kita tidak mudah terbuai dengan nikmat yang Allah bagi sehingga mendapat istidraj. Nauzubillahhiminzalik.

Mohon juga doa dari semua yang mengetahui tentang kami, dan bagilah sokongan kepada kami. Hormon gembira juga boleh mengurangkan kesakitan tau. Hehe.

Terima kasih kepada semua yang tolong kami terutama suami tercinta. Hanya Allah sahaja dapat membalas jasa kalian. Jazakumullah khairan kathira.