Thursday 3 September 2015

Hadhanah (Hak Penjagaan Anak)

Seperti yang disiarkan di laman web ISMADHL.

Benarkah ibu atau bapa yang bukan Islam boleh mendapat hak penjagaan anak apabila suami isteri itu berpisah? Untuk ketahui hal ini lebih lanjut sila baca artikel yang disunting daripada penceramah Ustaz Fauzi Asmuni mengenai tajuk, Hadhanah.
Bermulanya kontroversi mufti perlis yang mengeluarkan fatwa bahawa hak penjagaan anak adalah terhadap ibu atau bapa yang dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya iaitu syafaqah. Hadhanah ini timbul apabila penentuan siapa yang akan menjaga anak apabila seorang ibu atau bapa berpisah hidup dan mati. Isu hadhanah ini lebih utama apabila salah seorang ibu atau bapa yang berpisah, tidak beriman dengan agama Islam.
Kes tahun 2009 suami seorang muslim manakala isteri beragama hindu mempunyai 3 anak yang belum baligh. Si suami membawa kes ke mahkamah syariah dan akhirnya Berjaya mendapat hak hadhanah. Si bapa ini telah menukar nama anak-anaknya dan didik mereka dengan ajaran Islam. Kemudian si ibu menuntut kembali di mahkamah tinggi, lalu menang kes menuntut penjagaan anak-anak. Jadi berlaku konflik perundangan di sini kerana berlainan keputusan. Di sini akan diterangkan konsep hadhanah berdasarkan syarat dalam Islam.
Persoalan yang paling asas
Anak itu sepatutnya diserahkan kepada siapa? Kefahaman kebanyakan muslim adalah anak yang belum baligh mestilah diserahkan kepada ibu atau bapa yang ISLAM. Yang menjadi kontroversi adalah apabila mufti Perlis mengeluarkan fatwa bahawa anak yang belum baligh mesti dijaga oleh ibu atau bapa yang paling kuat kasih sayangnya atau syafaqah walaupun mereka bukan Islam.
Pandangan Ustaz Fauzi dan rakan-rakan (lulusan agama dan peguam-peguam muslim)
Mereka menyimpulkan isu agama sangat penting termasuklah hadhanah. Yang menjadi fokus di sini adalah anak yang belum baligh. Bagi yang sudah baligh tidak menjadi masalah kerana mereka boleh membuat keputusan sendiri. Seperti yang ramai maklum, seorang ibu lebih belas daripada seorang ayah. Kita juga maklum bahawa membesarkan anak-anak menjadi muslim yang baik adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, masyarakat, jiran tetangga dan bahkan Negara!
Kepentingan menjaga aqidah Islam seseorang anak itu adalah berdasarkan dalil Nabi Ibrahim memberi wasiat kepada keturunannya;
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;”2:127
“”Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;” 2:128
“(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.”2:131
Termasuk juga Nabi Yakub:
“(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.”
Wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya yang pertama adalah larangan mensyirikkan Allah SWT;
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”31:13
Dalil-dalil ini menunjukkan kewajipan ibu bapa mendidik anaknya menjadi muslim sehinggalah ke akhir hayatnya. Hal ini penting kerana dosa orang yang kafir terhadap Allah adalah dosa yang sangat besar kerana Allah tidak akan mengampuni dosa mereka sehinggalah mereka bertaubat dengan sesungguhnya iaitu taubat nasuha. Manakala dosa selain dari itu akan terhapus walaupun tidak meminta taubat dengan syarat melakukan amalan-amalan yang baik seperti berwuduk, bersedekah, zikirullah dan lain-lain.
Manakala dosa syirik Allah tidak akan ampun dengan begitu mudah. Ingatkah lagi kisah Abu Talib bapa saudara Rasulullah SAW yang begitu banyak berjasa kepada Rasulullah dalam menyampaikan dakwah kepada umat? Malangnya beliau tidak turut beriman bersama sahabat yang lain dan memilih untuk tetap agamanya walaupun ajalnya bakal menjemput ketika itu. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW balasan apakah terhadap bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak berjasa itu  walaupun beliau bukan muslim? Rasulullah SAW hanya mampu berdoa supaya diringankan azab kepada bapa saudaranya itu. Iaitu kakinya dibakar sehingga menggelegak otaknya.
Kenapa Abu Talib yang baik itu tetap mendapat azab walaupun beliau begitu baik kepada Rasulullah SAW? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana Abu Talib mensyirikan Allah Azzawajalla.
Mari kita susuli pula dengan kisah Saidina Umar al Khattab ketika menjadi Khalifah. Semasa pemerintahan Saidina Umar, perluasan kuasa berlaku dengan rancak sehingga tentera Islam ketika itu berjaya menawan salah satu jajahan Rom. Ketika itu terdapat seorang sahabat ingin menikah dengan Wanita ahli kitab (Kristian). Saidina Umar tidak membenarkan sahabat itu menikah dengan Wanita itu walaupun ada dalil al-Quran membenarkannya. Saidina Umar khuatir hasil pernikahan itu anak mereka tidak akan terjamin agamanya sama ada Islam atau Kristian. Pada asalnya kenapa terdapat dalil yang membenarkan lelaki Islam menikah dengan Wanita ahli kitab kerana lelaki Islam akan menjadi dominan sebagai ketua keluarga lalu hasil pernikahan itu anak-anak akan terjamin agama Islamnya. Manakala terdapat lelaki Islam yang tidak dominan selepas menikahi Wanita ahli kitab pada ketika itu kerana mereka menikahi wanita yang buruk akhlaknya sehingga menjadikan lelaki Islam itu tidak dominan.
Sebenarnya ketika Saidina Umar menghalang sahabat itu menikahi wanita ahli kitab tersebut, peristiwa ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan sahabat. Walaubagaimanapun akhirnya ia dapat menyelesaikan masalah larangan orang Islam menikahi ahli kitab kerana walaupun dia ahli kitab dia masih lagi seorang kafir. Hal ini menunjukkan penentuan agama pasangan adalah sangat penting bagi menjaga aqidah anak yang bakal dilahirkan.
Dalil-dalil umum ini kebanyakan daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie. Jelas dalam mazhab shafie anak mestilah diberi hak penjagaan kepada orang Islam dan yang paling baik agamanya. Misalnya apabila berlaku situasi berikut, maka pilihannnya adalah:
Islam vs Islam = paling baik agamanya
Islam vs kafir = Islam
Kristian vs Yahudi = Kristian
Yahudi vs Hindu = Yahudi
Jelas dalam Islam orang kafir tidak boleh menjadi wali (penguasa/penjaga) kepada orang Islam. Penting memilih wali yang betul kerana walilah yang berkuasa membuat sesuatu keputusan kepada si anak.
Ketahuilah bahawa Allah tidak akan sesekali memberi peluang dan ruang kepada orang kafir walau sedikitpun. Sesungguhnya Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Berikut antara dalil ketinggian Islam:
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan dan tidak (pula) pada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” 9:29.
Kaedah yang dipegang oleh jumhur ulamak adalah semua anak-anak yang baru dilahirkan adalah suci atau dalam keadaan fitrah iaitu lahir sebagai Islam. Ibu bapalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani mahupun majusi.
Sekarang sudah jelas mengenai hadhanah bahawa anak haruslah diberi kepada orang Islam. Yang menjadi kekeliruan umat sekarang adalah apabila Majlis Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa bahawa dalam mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan anak yang belum baligh diberikan kepada ibu atau bapa yang paling tinggi syafaqahnya walaupun bukan beragama Islam. Adakah benar kedua-dua imam besar ini mengeluarkan fatwa sedemikian? Jawapannya adalah benar.
Walau bagaimanapun kedua-dua mazhab tersebut menetapkan syarat yang begitu ketat jika hak penjagaan anak diberi kepada ibu atau bapa yang bukan muslim. Syarat tersebut adalah anak-anak itu hendaklah dijaga dengan cara hidup Islam supaya dia mendapat didikan yang sewajar sebagai muslim. Syarat itu begitu ketat dan teliti sehingga diterangkan satu persatu yang anak itu hendaklah tidak diberi minuman arak, tidak diberi makan khinzir, tidak ajak ke rumah ibadat selain Islam, si ibu atau bapa hendaklah dipastikan tinggal di sekelilingnya adalah orang Islam dan lain-lain lagi. Jika khuatir ibu atau bapa tidak boleh menjaga anak itu dengan didikan Islam yang baik maka anak itu hendaklah diserahkan kepada sekumpulan orang Islam yang boleh memberi didikan agama yang baik kepadanya.
Almarhum Dr. Wahbah Zuhaili juga menafsirkan hal yang sama iaitu hendaklah anak itu bersama dengan ibu atau bapanya yang bukan muslim hingga habis tempoh penjagaan. Sepanjang tempoh penjagaan anak itu mesti tidak didedahkan dengan hal-hal yang haram dalam Islam. Jika khuatir mereka akan lakukannya, maka anak itu hendaklah diserahkan kepada salah seorang muslim yang boleh mengelakkan anak-anak itu menjadi rosak. Rosak di sini termasuklah rosak aqidah. Fatwa ini jika mengikut situasi di Malaysia, ia sangat sukar dilaksanakan memandangkan rakyat di Negara kita adalah berbilang kaum dan agama.
Bagi hukum hadhanah yang umum, anak haruslah diberi kepada ibu jika tidak kepada nenek dan seterusnya. Yang paling utama anak itu hendaklah dibesarkan dengan cara muslim. Apa yang berlaku di Malaysia sebelum ini, ibu atau bapa yang berusaha mendapat anak itu bukanlah melibatkan syaqafah  tetapi tidak mahu anaknya menjadi muslim sehinggakan sanggup menukar nama anak mereka kepada nama bukan Islam.
Ada yang menyokong tindakan bukan Islam boleh jaga anak adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW pernah memberi pilihan anak itu memilih ibu atau bapa. Di sini menunjukkan Rasulullah tidak mewajibkan penjaga anak itu muslim. Si bapa yang merupakan muslim meminta pandangan Rasulullah SAW, manakala si ibu turut meminta pandangan Rasulullah sebagai ketua Negara akan hal ini. Apakah yang Rasulullah SAW lakukan? Rasulullah SAW menyuruh si anak itu pergi ke tengah-tengah antara ibu dan ayahnya. Lalu Rasulullah SAW menyuruh ibu dan bapa tersebut memanggil anak tersebut. Pada awalnya anak itu berpaling ke arah ibunya. Melihat itu, Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud; “Ya Allah berilah petunjuk kepadanya”. Lantas anak itu berpaling kepada bapanya yang muslim itu. Jelas di sini menunjukkan walaupun Rasulullah SAW memberi pilihan kepada anak itu memilih antara ibu dan bapa tetapi tidak redha jika anak itu memilih ibunya yang bukan muslim sehingga berdoa kepada Allah SWT. Dalam sejarah Rasulullah SAW dan sahabat tidak pernah diberi hak penjagaan kepada yang bukan Islam.
Kes yang melibatkan bukan Islam yang menjaga anak Islam adalah kes yang terpencil. Kes ini boleh berlaku apabila ibu atau bapa yang Islam tidak layak menjaga anak kerana masalah kewangan yang sangat teruk atau terlibat dengan akhlak yang buruk, kaki pukul misalnya. Jadi mazhab Hanafi dan mazhab shafie boleh diguna pakai tapi dengan meletakkan syarat yang ketat seperti juga yang digariskan oleh kedua-dua mazhab tersebut.
Kesimpulannya, Islam sangat menitikberatkan penjagaan anak-anak kecil. Siapakah penjaga mereka? Bagaimana mereka dijagakan? Hal ini adalah semata-mata untuk melahirkan umat Islam yang hebat lagi diredhai Allah SWT. Oleh itu, hadhanah perlulah dititikberatkan terutamanya bagi anak-anak yang belum baligh supaya memilih orang Islam sebagai penjaga, yang mempunyai belas kasihan yang tinggi, meletakkan syarat yang ketat kepada penjaga terutama penjaga bukan Islam. Pandangan jumhur lebih menepati iaitu mengutamakan orang Islam sebab hadhanah bukan sekadar perebutan penjagaan anak milik siapa tetapi demi menjaga agama anak itu agar terus terjamin. Hal ini juga bukanlah sesuatu yang enteng kerana bukan sahaja melibatkan ibu bapa anak itu sahaja bahkan masyarakat dan Negara iaitu mestilah memastikan anak itu membesar dengan didikan Islam yang baik sehingga anak itu baligh terutamanya.
Wallahua’lam.