Thursday, 30 June 2016

Do'a di Malam Lailatul Qadar yang Akan Mengubah Hidup Anda

Assalamualaikum wbt. Jemput tonton video ini dengan baki Ramadan yang tinggal beberapa hari je lagi ...

Sunday, 10 January 2016

Tempat Baru Saya 2

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah setelah sekian lama blog ini tidak disentuh, akhirnya sekarang digerakkan hati ini oleh Pemilik Segala Hati, untuk membuat sedikit coretan di sini.

Saya alhamdulillah baik-baik sahaja sejak mendapat pekerjaan baru di sini. Ini merupakan pekerjaan saya yang kedua di Selangor sejak berhijrah dari Penang. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah swt. Sebenarnya saya bekerja di sini pada pertengahan bulan 4 2015 iaitu tahun lepas. Haa, sekarang baru nak cerita. Hehe.

Banyak perkara yang telah berlaku sejak kali terakhir saya membuat coretan di sini. Padahal tulisan saya yang lepas2, saya sudah pun berada di tempat baru ini. Cuma sekarang baru tergerak nak menaip. Sebenarnya, pada bulan 8 yang lalu saya telah kehilangan ibunda saya yang tercinta pada 10 akhir Ramadhan. Sungguh Allah lagi menyintainya berbanding saya, hamba yang hina dan dina ini. Alhamdulillah bila terbit rasa rindu yang mendalam sedekahkan sahaja Al-Fatihah buatnya sehingga hati rindu ini dapat terubat. Alhamdulillah. Umi, kakak sayang umi kerana Allah. Mohon juga disedekahkan AlFatihah buat umi saya yang berada di sana yang insyaAllah dapat bersama arwah abah saya juga..alhamdulillah.

Seiring dengan masa dan umur, semakin banyak perkara yang perlu ditempuhi. Sering kali rasa diri ini tidak sekuat dulu. Tidak seproduktif dulu. Sangat memerlukan kekuatan dari yang Maha Esa, Maha Kuat, agar dianugerahi diri ini kekuatan untuk menghadapi baki umur yang ada ini. Iyalah, kita pun tak tahu bila pula akan dijemput ilahi walaupun dikatakan tidak menghidapi penyakit.

Allahu. Ya Allah mohon ya Allah beri aku petunjuk untuk aku guna masa yang dianugerahimu untuk aku memperbanyakkan amalan ibadah dan bukannya menghabiskan masa yang diamanah begitu sahaja. Kekuatan untuk berdikari tanpa bergantung terus dengan orang lain. Kekuatan untuk terus istiqomah dalam melakukan amal kebajikan. Kekuatan untuk terus berbakti kepada ummah. Kekuatan untuk terus menulis ke arah kebaikan. Allahu. Astaghfirullahalazim. Ampunilah segala dosa- dosa ku ya Allah. Jangan kerana dosa-dosa ini menyebabkan aku semakin jauh darimu. Astaghfirullahalazim.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda dan para sahabat baginda. Wallahamdulillahirabbil alamin.

Moga tulisan yang tak seberapa ini juga menjadi titik tolak untuk penulisan yang seterusnya. InsyaAllah, dengan kehendakNya.

Thursday, 3 September 2015

Hadhanah (Hak Penjagaan Anak)

Seperti yang disiarkan di laman web ISMADHL.

Benarkah ibu atau bapa yang bukan Islam boleh mendapat hak penjagaan anak apabila suami isteri itu berpisah? Untuk ketahui hal ini lebih lanjut sila baca artikel yang disunting daripada penceramah Ustaz Fauzi Asmuni mengenai tajuk, Hadhanah.
Bermulanya kontroversi mufti perlis yang mengeluarkan fatwa bahawa hak penjagaan anak adalah terhadap ibu atau bapa yang dapat menjamin kemaslahatan anak dari sudut perkembangan moral, emosi dan tumbesarannya iaitu syafaqah. Hadhanah ini timbul apabila penentuan siapa yang akan menjaga anak apabila seorang ibu atau bapa berpisah hidup dan mati. Isu hadhanah ini lebih utama apabila salah seorang ibu atau bapa yang berpisah, tidak beriman dengan agama Islam.
Kes tahun 2009 suami seorang muslim manakala isteri beragama hindu mempunyai 3 anak yang belum baligh. Si suami membawa kes ke mahkamah syariah dan akhirnya Berjaya mendapat hak hadhanah. Si bapa ini telah menukar nama anak-anaknya dan didik mereka dengan ajaran Islam. Kemudian si ibu menuntut kembali di mahkamah tinggi, lalu menang kes menuntut penjagaan anak-anak. Jadi berlaku konflik perundangan di sini kerana berlainan keputusan. Di sini akan diterangkan konsep hadhanah berdasarkan syarat dalam Islam.
Persoalan yang paling asas
Anak itu sepatutnya diserahkan kepada siapa? Kefahaman kebanyakan muslim adalah anak yang belum baligh mestilah diserahkan kepada ibu atau bapa yang ISLAM. Yang menjadi kontroversi adalah apabila mufti Perlis mengeluarkan fatwa bahawa anak yang belum baligh mesti dijaga oleh ibu atau bapa yang paling kuat kasih sayangnya atau syafaqah walaupun mereka bukan Islam.
Pandangan Ustaz Fauzi dan rakan-rakan (lulusan agama dan peguam-peguam muslim)
Mereka menyimpulkan isu agama sangat penting termasuklah hadhanah. Yang menjadi fokus di sini adalah anak yang belum baligh. Bagi yang sudah baligh tidak menjadi masalah kerana mereka boleh membuat keputusan sendiri. Seperti yang ramai maklum, seorang ibu lebih belas daripada seorang ayah. Kita juga maklum bahawa membesarkan anak-anak menjadi muslim yang baik adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa, masyarakat, jiran tetangga dan bahkan Negara!
Kepentingan menjaga aqidah Islam seseorang anak itu adalah berdasarkan dalil Nabi Ibrahim memberi wasiat kepada keturunannya;
“Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim bersama-sama Nabi Ismail meninggikan binaan asas-asas (tapak) Baitullah (Kaabah) itu, sambil keduanya berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui;”2:127
“”Wahai Tuhan kami! Jadikanlah kami berdua: orang-orang Islam (yang berserah diri) kepadaMu, dan jadikanlah daripada keturunan kami: umat Islam (yang berserah diri) kepadamu, dan tunjukkanlah kepada kami syariat dan cara-cara ibadat kami, dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani;” 2:128
“(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: “Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!” Nabi Ibrahim menjawab: “Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.”2:131
Termasuk juga Nabi Yakub:
“(Demikianlah wasiat Nabi Yaakub, bukan sebagaimana yang kamu katakan itu wahai orang-orang Yahudi)! Kamu tiada hadir ketika Nabi Yaakub hampir mati, ketika ia berkata kepada anak-anaknya: “Apakah yang kamu akan sembah sesudah aku mati?” Mereka menjawab: “Kami menyembah Tuhanmu dan Tuhan datuk nenekmu Ibrahim dan Ismail dan Ishak, iaitu Tuhan yang Maha Esa, dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri (dengan penuh iman)”.”
Wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya yang pertama adalah larangan mensyirikkan Allah SWT;
“Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada anaknya, semasa ia memberi nasihat kepadanya:” Wahai anak kesayanganku, janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar.”31:13
Dalil-dalil ini menunjukkan kewajipan ibu bapa mendidik anaknya menjadi muslim sehinggalah ke akhir hayatnya. Hal ini penting kerana dosa orang yang kafir terhadap Allah adalah dosa yang sangat besar kerana Allah tidak akan mengampuni dosa mereka sehinggalah mereka bertaubat dengan sesungguhnya iaitu taubat nasuha. Manakala dosa selain dari itu akan terhapus walaupun tidak meminta taubat dengan syarat melakukan amalan-amalan yang baik seperti berwuduk, bersedekah, zikirullah dan lain-lain.
Manakala dosa syirik Allah tidak akan ampun dengan begitu mudah. Ingatkah lagi kisah Abu Talib bapa saudara Rasulullah SAW yang begitu banyak berjasa kepada Rasulullah dalam menyampaikan dakwah kepada umat? Malangnya beliau tidak turut beriman bersama sahabat yang lain dan memilih untuk tetap agamanya walaupun ajalnya bakal menjemput ketika itu. Sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW balasan apakah terhadap bapa saudara Rasulullah SAW yang banyak berjasa itu  walaupun beliau bukan muslim? Rasulullah SAW hanya mampu berdoa supaya diringankan azab kepada bapa saudaranya itu. Iaitu kakinya dibakar sehingga menggelegak otaknya.
Kenapa Abu Talib yang baik itu tetap mendapat azab walaupun beliau begitu baik kepada Rasulullah SAW? Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana Abu Talib mensyirikan Allah Azzawajalla.
Mari kita susuli pula dengan kisah Saidina Umar al Khattab ketika menjadi Khalifah. Semasa pemerintahan Saidina Umar, perluasan kuasa berlaku dengan rancak sehingga tentera Islam ketika itu berjaya menawan salah satu jajahan Rom. Ketika itu terdapat seorang sahabat ingin menikah dengan Wanita ahli kitab (Kristian). Saidina Umar tidak membenarkan sahabat itu menikah dengan Wanita itu walaupun ada dalil al-Quran membenarkannya. Saidina Umar khuatir hasil pernikahan itu anak mereka tidak akan terjamin agamanya sama ada Islam atau Kristian. Pada asalnya kenapa terdapat dalil yang membenarkan lelaki Islam menikah dengan Wanita ahli kitab kerana lelaki Islam akan menjadi dominan sebagai ketua keluarga lalu hasil pernikahan itu anak-anak akan terjamin agama Islamnya. Manakala terdapat lelaki Islam yang tidak dominan selepas menikahi Wanita ahli kitab pada ketika itu kerana mereka menikahi wanita yang buruk akhlaknya sehingga menjadikan lelaki Islam itu tidak dominan.
Sebenarnya ketika Saidina Umar menghalang sahabat itu menikahi wanita ahli kitab tersebut, peristiwa ini telah mencetuskan kontroversi dalam kalangan sahabat. Walaubagaimanapun akhirnya ia dapat menyelesaikan masalah larangan orang Islam menikahi ahli kitab kerana walaupun dia ahli kitab dia masih lagi seorang kafir. Hal ini menunjukkan penentuan agama pasangan adalah sangat penting bagi menjaga aqidah anak yang bakal dilahirkan.
Dalil-dalil umum ini kebanyakan daripada mazhab Hanafi, Maliki dan Shafie. Jelas dalam mazhab shafie anak mestilah diberi hak penjagaan kepada orang Islam dan yang paling baik agamanya. Misalnya apabila berlaku situasi berikut, maka pilihannnya adalah:
Islam vs Islam = paling baik agamanya
Islam vs kafir = Islam
Kristian vs Yahudi = Kristian
Yahudi vs Hindu = Yahudi
Jelas dalam Islam orang kafir tidak boleh menjadi wali (penguasa/penjaga) kepada orang Islam. Penting memilih wali yang betul kerana walilah yang berkuasa membuat sesuatu keputusan kepada si anak.
Ketahuilah bahawa Allah tidak akan sesekali memberi peluang dan ruang kepada orang kafir walau sedikitpun. Sesungguhnya Islam itu tinggi, tiada yang lebih tinggi melainkan Islam. Berikut antara dalil ketinggian Islam:
“Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan dan tidak (pula) pada hari kemudian, dan mereka tidak mengharamkan apa yang diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya dan tidak beragama dengan agama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri.” 9:29.
Kaedah yang dipegang oleh jumhur ulamak adalah semua anak-anak yang baru dilahirkan adalah suci atau dalam keadaan fitrah iaitu lahir sebagai Islam. Ibu bapalah yang menjadikan mereka yahudi, nasrani mahupun majusi.
Sekarang sudah jelas mengenai hadhanah bahawa anak haruslah diberi kepada orang Islam. Yang menjadi kekeliruan umat sekarang adalah apabila Majlis Fatwa Perlis mengeluarkan fatwa bahawa dalam mazhab Hanafi dan Maliki membenarkan anak yang belum baligh diberikan kepada ibu atau bapa yang paling tinggi syafaqahnya walaupun bukan beragama Islam. Adakah benar kedua-dua imam besar ini mengeluarkan fatwa sedemikian? Jawapannya adalah benar.
Walau bagaimanapun kedua-dua mazhab tersebut menetapkan syarat yang begitu ketat jika hak penjagaan anak diberi kepada ibu atau bapa yang bukan muslim. Syarat tersebut adalah anak-anak itu hendaklah dijaga dengan cara hidup Islam supaya dia mendapat didikan yang sewajar sebagai muslim. Syarat itu begitu ketat dan teliti sehingga diterangkan satu persatu yang anak itu hendaklah tidak diberi minuman arak, tidak diberi makan khinzir, tidak ajak ke rumah ibadat selain Islam, si ibu atau bapa hendaklah dipastikan tinggal di sekelilingnya adalah orang Islam dan lain-lain lagi. Jika khuatir ibu atau bapa tidak boleh menjaga anak itu dengan didikan Islam yang baik maka anak itu hendaklah diserahkan kepada sekumpulan orang Islam yang boleh memberi didikan agama yang baik kepadanya.
Almarhum Dr. Wahbah Zuhaili juga menafsirkan hal yang sama iaitu hendaklah anak itu bersama dengan ibu atau bapanya yang bukan muslim hingga habis tempoh penjagaan. Sepanjang tempoh penjagaan anak itu mesti tidak didedahkan dengan hal-hal yang haram dalam Islam. Jika khuatir mereka akan lakukannya, maka anak itu hendaklah diserahkan kepada salah seorang muslim yang boleh mengelakkan anak-anak itu menjadi rosak. Rosak di sini termasuklah rosak aqidah. Fatwa ini jika mengikut situasi di Malaysia, ia sangat sukar dilaksanakan memandangkan rakyat di Negara kita adalah berbilang kaum dan agama.
Bagi hukum hadhanah yang umum, anak haruslah diberi kepada ibu jika tidak kepada nenek dan seterusnya. Yang paling utama anak itu hendaklah dibesarkan dengan cara muslim. Apa yang berlaku di Malaysia sebelum ini, ibu atau bapa yang berusaha mendapat anak itu bukanlah melibatkan syaqafah  tetapi tidak mahu anaknya menjadi muslim sehinggakan sanggup menukar nama anak mereka kepada nama bukan Islam.
Ada yang menyokong tindakan bukan Islam boleh jaga anak adalah berdasarkan hadis Rasulullah SAW pernah memberi pilihan anak itu memilih ibu atau bapa. Di sini menunjukkan Rasulullah tidak mewajibkan penjaga anak itu muslim. Si bapa yang merupakan muslim meminta pandangan Rasulullah SAW, manakala si ibu turut meminta pandangan Rasulullah sebagai ketua Negara akan hal ini. Apakah yang Rasulullah SAW lakukan? Rasulullah SAW menyuruh si anak itu pergi ke tengah-tengah antara ibu dan ayahnya. Lalu Rasulullah SAW menyuruh ibu dan bapa tersebut memanggil anak tersebut. Pada awalnya anak itu berpaling ke arah ibunya. Melihat itu, Rasulullah SAW berdoa yang bermaksud; “Ya Allah berilah petunjuk kepadanya”. Lantas anak itu berpaling kepada bapanya yang muslim itu. Jelas di sini menunjukkan walaupun Rasulullah SAW memberi pilihan kepada anak itu memilih antara ibu dan bapa tetapi tidak redha jika anak itu memilih ibunya yang bukan muslim sehingga berdoa kepada Allah SWT. Dalam sejarah Rasulullah SAW dan sahabat tidak pernah diberi hak penjagaan kepada yang bukan Islam.
Kes yang melibatkan bukan Islam yang menjaga anak Islam adalah kes yang terpencil. Kes ini boleh berlaku apabila ibu atau bapa yang Islam tidak layak menjaga anak kerana masalah kewangan yang sangat teruk atau terlibat dengan akhlak yang buruk, kaki pukul misalnya. Jadi mazhab Hanafi dan mazhab shafie boleh diguna pakai tapi dengan meletakkan syarat yang ketat seperti juga yang digariskan oleh kedua-dua mazhab tersebut.
Kesimpulannya, Islam sangat menitikberatkan penjagaan anak-anak kecil. Siapakah penjaga mereka? Bagaimana mereka dijagakan? Hal ini adalah semata-mata untuk melahirkan umat Islam yang hebat lagi diredhai Allah SWT. Oleh itu, hadhanah perlulah dititikberatkan terutamanya bagi anak-anak yang belum baligh supaya memilih orang Islam sebagai penjaga, yang mempunyai belas kasihan yang tinggi, meletakkan syarat yang ketat kepada penjaga terutama penjaga bukan Islam. Pandangan jumhur lebih menepati iaitu mengutamakan orang Islam sebab hadhanah bukan sekadar perebutan penjagaan anak milik siapa tetapi demi menjaga agama anak itu agar terus terjamin. Hal ini juga bukanlah sesuatu yang enteng kerana bukan sahaja melibatkan ibu bapa anak itu sahaja bahkan masyarakat dan Negara iaitu mestilah memastikan anak itu membesar dengan didikan Islam yang baik sehingga anak itu baligh terutamanya.
Wallahua’lam.

Thursday, 26 March 2015

Jadilah Hamba yang Bersyukur! - Kisah Teladan

Pada zaman Nabi Musa AS, terdapat seorang yang miskin datang menghadap Nabi Musa AS. Orang itu begitu miskin sehingga pakaian yang dipakainya bercompang-camping, lusuh lagi berdebu. 

Si miskin itu kemudian berkata kepada Nabi Musa AS, "Ya Nabiyullah, doakanlah untukku agar Allah SWT menjadikan aku orang yang kaya-raya." 

Nabi Musa AS tersenyum mendengar permintaan si miskin itu lalu berkata, "Wahai saudaraku, bersyukurlah kamu kepada Allah SWT dengan sebanyak-banyaknya." 

Si miskin itu terkejut dan berasa kesal dengan jawapan Nabi Musa AS lalu berkata, "Bagaimana aku dapat bersyukur jika makan pun aku jarang-jarang manakala baju yang aku miliki hanya ini sahaja," katanya sambil menunjuk-nunjuk baju compang-campingnya itu. Akhirnya si miskin itu pulang dengan hampa. 

Beberapa waktu kemudian datang seorang kaya menghadap Nabi Musa AS. Orang itu bersih badannya dan rapi pakaiannya. 

Si kaya itu berkata kepada Nabi Musa AS, "Wahai Nabiyullah, doakanlah untukku agar aku menjadi orang miskin kerana terkadang aku merasa terganggu dengan hartaku itu." 

Nabi Musa AS juga tersenyum dengan permintaan si kaya itu lalu berkata, "Wahai saudaraku, janganlah kamu bersyukur kepada Allah SWT." 

Segera dijawab si kaya itu, "Ya Nabiyullah, bagaimana aku tidak bersyukur kepada Allah SWT? Allah SWT telah memberikan aku mata yang dengannya aku dapat melihat. Memberiku telinga yang dengannya aku dapat mendengar. Allah SWT juga telah menganugerahkan aku tangan yang dengannya aku dapat bekerja dan telah memberikan aku kaki yang dengannya aku dapat berjalan. Katakanlah kepadaku, bagaimana mungkin aku tidak mensyukuri-Nya?" jawab si kaya itu dengan mantap. Akhirnya si kaya itu pulang ke rumahnya. 

Setelah itu, menjadilah si kaya itu semakin kaya kerana Allah SWT telah menambah kekayaannya kerana dia selalu bersyukur. Manakala si miskin itu menjadi bertambah miskin kerana Allah SWT telah mengambil kembali banyak nikmat-nikmat yang diberikan kepada si miskin itu yang lupa sekali untuk mensyukurinya termasuklah pakaian compang-campingnya itu!

Sekian. Jom jadi hamba Allah yang sentiasa bersyukur! Alhamdulillah.
Sumber yang diubah suai diambil dari: http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/1001kisahteladan4.htm

Tuesday, 24 February 2015

Keindahan itu dingin: esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku

KISAH YANG MENARIK! MOGA DAPAT MENJADI PENGAJARAN BUAT SEMUA



Keindahan itu dingin: esok kau bernikah, tetapi bukan dengan aku: LIMA BULAN SEBELUM Saya bekerja di sebuah restoran makanan segera. “Nak makan sini atau bungkus?” “Makan sini.” Itu dialog...



KESIMPULAN, PENUHI ILMU DAN IMAN DI DADA KERANA AKHIR HIDUP KITA HANYA MENGHARAPKAN KEHIDUPAN YANG BAIK DI AKHIRAT BUKAN DI DUNIA SEMATA.

Monday, 16 February 2015

Melawat Korea Selatan!

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah kali ini saya telah berpeluang untuk ke luar negara buat pertama KALInya pada awal Januari yang lalu. Pertama kali naik kapal terbang dan pertama kali ke luar negara! hehe..Agak ketinggalan, tapi better late than never kan? Jazakumullah khairan kathira kepada syarikat tempat saya bekerja sudi menaja saya dan rakan-rakan staff yang lain. Kalau nak tahu inilah company trip. Company apa? Biarlah rahsia.

Alhamdulillah sekali lagi dipanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kalau tidak kerana limpah dan kurnia-Nya tidak merasa saya memijakkan kaki ke Korea Selatan, pada musim sejuk pulak tu. Sangat-sangat sejuk. Seperti yang saya katakan tadi, pertama kali pergi negara orang, dan sudah terbiasa dengan cuaca khatulistiwa tiba-tiba terus merasa winter! Tak ke drastik tu! Walau bagaimanapun setelah kembali ke Malaysia saya dan rombongan yang lain dapat pulang ke Malaysia dengan sihat dan sejahteranya. Cuma adalah sedikit yang demam apabila balik ke Malaysia. Demam rindu Korea tak tahu lah pula.

Pada waktu ini bajet saya untuk ke luar negara tidak lah begitu cukup untuk saya bershopping sakan ketika berada di sana. Tapi alhamdulillah, Allah telah mencukupkan keperluan saya untuk pergi ke sana. Semua maklum kan nak ke luar negara memerlukan kos yang banyak sebab persiapan ke negara yang cuaca tidak sama dengan Malaysia memerlukan kita mencari kelengkapan yang secukupnya supaya boleh terus berada di sana untuk menikmati keindahan negara orang. Kalau tidak, duduk di bilik sahaja rugi lah kan. Jadi di sini saya ingin berkongsi apakah persediaan dan pengalaman saya untuk bercuti ke Korea Selatan pada musim sejuk a.k.a winter. Kenapa saya nak berkongsi juga di sini walaupun sudah banyak bloggers lain sudah berkongsi pengalaman yang sama? Hal ini kerana saya telah terhutang budi yang saaaaangat banyak kepada bloggers di luar sana yang sudi berkongsi pengalaman mereka untuk ke luar negara. Jadi mana tahu pengalaman saya boleh jadi berguna buat mereka yang memerlukan pada masa akan datang? Wallahua'lam.

Sebelum pergi lebih jauh saya nak kongsi tips utama lagi super penting dalam membuat apa-apa persiapan, iaitu berDOA. Sentiasa berdoa selepas solat misalnya supaya perjalanan pergi dan balik kita selamat dan Allah memudahkan segala urusan kita di sana. Sebab kita tidak akan pernah tahu kesukaran apa yang akan kita hadapi nanti. Allah sahaja yang Maha Mengetahui dan tempat sebaik-baik meminta pertolongan dan perlindungan. Doa itu satu bentuk tawakkal kita kepada Allah SWT. Tapi ingat, bukan semata-mata nak travel je baru berdoa, tetapi selagi hayat dikandung badan. Justeru, janganlah sesekali tinggal solat dengan sengaja sebab solat itu juga adalah doa!

SEBELUM

Pasport (Dokumen Perjalanan)

Perkara pertama yang perlu ada untuk ke luar negara mestilah passport! Pertama kali saya buat passport memerlukan saya membuat research yang sangat banyak. Di mana tempat dia, apa yang perlu disediakan, macam mana nak buat, bagaimana keadaan dia dan lain-lain. Terima kasih sekali lagi kepada bloggers sebab sudi share pengalaman mereka. Pengalaman saya, saya buat di Puchong Utama. Saya buat pada hari bekerja pada bulan Disember tahun lepas. Walaupun pada hari bekerja, masih terlalu ramai orang beratur untuk buat passport di Pejabat Imigresen Puchong. Maklumlah pada ketika itu musim cuti sekolah. Jadi ramai ahli keluarga yang merancang untuk bercuti di luar negara. Bertuah sungguh mereka kan? Pada hari pertama saya sampai di pejabat Imigresen untuk ambil nombor giliran pada jam 8 pagi lebih, nombor dah habis! Staff RELA yang jaga kata, "esok datang awal-awal". Saya memang sedia maklum pasal nombor giliran memang cepat habis. Jadi tak terkejut sangat. Tapi tak tipu lah, kecewa pun ada juga tapi nak buat macam mana kan. Jadi saya pergi pula keesokkan harinya. Alhamdulillah rumah dekat.

Jadi saya mengambil keputusan untuk bertolak awal-awal pagi semata-mata untuk beratur mendapatkan nombor giliran untuk buat passport. Saya sampai di sana pada jam 6.50 lebih minit pagi. Seperti yang saya jangkakan memang agak panjang barisan dia sewaktu saya sampai. Selepas saya mestilah lagi panjang kan. Tidak hairanlah pukul 8 lebih dah habis nombor giliran. Memang penantian itu suatu yang menyeksakan. Justeru gunalah masa yang ada untuk melakukan aktiviti yang bermanfaat. Saya memilih untuk tilawah al-Quran sambil beratur (berdiri) di samping membuat hafazan mana-mana yang mampu. Alhamdulillah kurang rasa kekok untuk tilawah di kawasan umum mungkin sebab tidak ramai orang Melayu kot. Tapi tak patut begini...Seelok-eloknya bertilawah lah selalu, lawan rasa segan sebab apabila kita tidak mahu buat kebaikan kerana manusia, itu dah dikira riak. Jadi berhati-hatilah. Peringatan untuk diri sendiri juga.

Akhirnya saya dapat memiliki nombor giliran untuk membuat pasport. Satu kejayaan setelah lama menunggu. Seingat saya sebelum pukul 9 pagi pada ketika itu baru dapat nombor. Nombor giliran saya 64 seingat saya. Jadi kena tunggu 63 orang setel barulah sampai giliran saya. Waktu menunggu tu saya sambung je tilawah. Alhamdulillah dapat habis satu juzuk lebih dalam pukul 10 pagi lebih (kena biasa dengan 'lebih' nampaknya kerana saya memang tak ingat masa betul dia, lainlah kalau saya rajin nak rekod..hehe. pstt saya join ODOJ). Kalau waktu biasa rasanya jarang boleh capai macam ni. Ish3. InsyaAllah masa menunggu kita tidak menjadi terlalu membosankan dan kita boleh sabar menunggu dan menunggu. Sabar kan sebahagian daripada iman. hehe.

Alhamdulillah jam 12 tengah hari (mungkin lebih hehe) saya dapat setelkan urusan passport saya. Sepatutnya pukul 2 petang dan boleh ambil, tapi disebabkan saya bekerja jadi saya mengambil keputusan untuk ambil keesokkan harinya sahaja. Kalau nak ambil pasport sahaja tak perlu datang awal sangat pun takpe, datang masa opis depa dah buka. Ambil nombor untuk ambil pasport dan tunggu nombor kita dipanggil dan dapatlah pasport tu. Senang kan. Jadi apa persiapan buat pasport sebenarnya?
  • Persiapan mental dan fizikal (menunggu giliran-bergantung tempat dan masa)
  • Pakaian yang sopan dan kemas, nak ambil gambar kan (masuk premis kerajaan kena behave, ramai chinese yang pakai singkat masa tu kena cari skirt labuh sikit at least, baru boleh masuk)
  • Kad pengenalan (sangat penting)
  • Duit untuk buat passport bergantung berapa lama nak, saya buat 2 tahun je jadi perlu ada RM100 sahaja
  • Borang pula tak perlu (borang download online) just guna borang yang pegawai bagi masa ambil nombor giliran. Simple je borang dia, tanya nama, no ic, status perkahwinan, tinggi dan lain-lain. 
  • Tapi sebagai langkah berjaga-jaga boleh juga sediakan ic fotostat dan borang yang di-download beserta gambar untuk passport (ada blogger share, mereka perlukan semua ni)
Memang simple. Sebab itu pentingnya kena ada IC. Keseluruhan nak buat pasport ni subhanallah sangat senang just tunggu giliran (ini yang seksa hehe), kemudian bagi borang kecil yang dah siap diisi beserta ic, ambil gambar kita, cop jari. Selepas itu, tunggu (kalau ramai orang memang ambil masa sikit) pula untuk urusan pembayaran. Alhamdulillah teknologi memudahkan kerja kita. Sebenarnya bergantung pada tempat ramai atau tidak , kalau kawasan bandar yang ber-kepadatan tinggi macam area KL, Selangor memang ramai orang. Tapi kalau di negeri-negeri lain mungkin tidak ambil masa sangat untuk tunggu nombor giliran. Untuk lebih detail pasal pasport boleh terus ke laman web Imigresen Malaysia.

Sekian cerita pasal buat pasport..hehe panjang kan..Memang sebelum ni terniat nak share, tapi baru sekarang berpeluang alang-alang nak cerita pasal Korea ni.

Barang Keperluan
Untuk barang keperluan, saya google je dan jupe banyakkk blog yang kongsi pasal ni. Google je 'Persediaan ke Korea Musim Sejuk'. Kalau baca post daripada depa kebanyakan share perkara yang sama, sampai jadi lali sikit dengan barang yang perlu dibawa. Jadi better baca banyak-banyak blog, tak rugi pun.. Sekarang nak share pengalaman sendiri pula.hehe. Biasalah setiap orang ada pengalaman tersendiri kan.


Antara keperluannya:
Barang-barang farmasi:
  • Olive oil/lotion/lip balm- Atau boleh bawa vaseline sahaja, yang dari petroleum tu. Saya punya olive oil dan losyen rambut kena tahan semasa lalu security check kat airport Malaysia.huhu. Sebabnya tidak boleh bawa cecair melebihi 100 ml. Saya ingat kat kabin boleh, kat kargo yang tak boleh. Rupa-rupanya sebaliknya. Takpe belajar dari kesilapan. Jadi saya beli vaseline kat Korea sana dengan harga 3900 won sahaja. Wajib tau ada dalam handbag sebab bila cuaca sejuk, kulit akan cepat mengering. Boleh sapu pada area muka especially area kulit sensitif iaitu pipi dan bibir.
  • Ubat sendiri- Bagi sesiapa yang memerlukan makan ubat ikut masa
  • Minyak urut- Badan lenguh-lenguh nanti sebab banyak berjalan kan (tapi saya tak guna sangat masa tu)
  • Balm/salonplas - Senang juga guna salonplas ni sebab senang nak apply bila ada tempat yang lenguh-lenguh
  • Panadol (kalau perlu sangat-sangat)/koyot - jika sakit kepala tiba-tiba dan sebagai langkah berjaga-jaga
  • Pantyliner - untuk kegunaan wanita
  • Raincoat- saya tak bawa. Alhamdulillah tak hujan sangat semasa 4 hari kami berada di sana
  • Mafla - boleh tutup hidung dan mulut untuk memberi haba panas pada muka yang terdedah dengan angin sejuk selain dapat beri haba panas pada leher. Untung kepada mereka yang bertudung kerana tudung tu sendiri dah bagi perlindungan haba dan maruah kepada si pemakainya. Jadi kepada muslimah, pakai lah tudung kerana tudung itu wajib. Doa banyak-banyak supaya dikuatkan Allah untuk terus istiqomah. 
  • Botol air kosong/wet tissue/tisu kering/hand sanitizer-untuk kegunaan dalam toilet sebab depa tak guna air macam kita di Malaysia
  • Heat pack - beli di Daiso, RM5 je. Beli yang besar ye jangan yang kecil tak puas guna nanti
  • Toiletries bawa yang traveller kit sebab senang nak bawa, nak selamat jangan letak di cabin tapi letak sekali dengan luggage sebab bahan cecair kan takut melebihi 100 ml pula..huhu
Pakaian:
  • Long john atau heattech (baju nipis yang memerangkap haba badan setahu saya) - pakaian lapisan pertama
  • Stokin tebal - kaki pun kena bagi haba juga. Bawa lebih ye, kalau tak nak boleh basuh dan keringkan dengan guna heater yang ada
  • Sling beg/beg galas - Senang nak bergerak ke sana ke mari dan untuk jaga keselamatan barang kita
  • Winter jacket tebal, yang berat ye, jangan yang ringan sangat kesian badan kita. Lawatan kali ni saya bawa dua. 2-2 saya pinjam je sebab tak tahu bila pulak nak pakai lagi..huhu. Satu tebal satu nipis, pakai dua lapis lagi best sebab dapat tahan sejuk lebih. hehe. Yang penting bergantung pada keselesaan kepada si pemakai.
  • Sweater biasa - untuk dipakai selepas baju harian kita, kemudian baru pakai winter jacket
  • Glove (sarung tangan) - Glove yang tebal sikit. Lagi bagus ibu jari dan jari telunjuk dia boleh guna untuk kegunaan touchscreen application, handphone misalnya. Bawa lebih juga. Atau boleh basuh di sana.
  • Kalau wanita yang sudah biasa pakai armsock (sarung lengan) itu satu kelebihan sebab armsock juga dapat beri haba yang lebih pada badan. Jadi bawa armsock yang tebal-tebal ye. Nanti badan kita akan gatal-gatal sebab perubahan suhu, bila berada di kawasan sejuk tak rasa gatal, bila berada di kawasan panas mula rasa gatal-gatal terutama pada bahagian yang kurang lapis baju. Pengalaman saya apabila saya pakai armsock saya cuma rasa gatal pada tangan atas yang tak kena armsock je . Tapi jangan bimbang gatalnya tak lama insyaAllah. Doa banyak-banyak ye.
Keperluan lain:
  • Duit Korea tukar siap-siap di Malaysia sebab currency depa kan mahal . Kalau nak balik Malaysia pula, kalau ada duit Korea lebih, tukar siap-siap kat sana, kat airport depa pun boleh tukar sebab untung duit kita bila tukar dari duit depa. Untuk shopping pula, terus bajet nak shopping berapa dengan duit Malaysia berdasarkan kemampuan kita. Nanti just shopping guna duit yang dipegang tu. Jadi bajetlah within jumlah wang di tangan.
  • Makanan ringan- Saya bawa gula-gula getah je janjan lain tak bawa sebab masa makan dah ditentukan. Alhamdulillah.
  • Buku nota - Untuk catat apa yang perlu (nak tulis travel journal ke)
  • Universal traveller adapter - plug depa tak sama dengan kita. Ada certain guesthouse tu terus bagi extension dia untuk kita guna, yang best plug dua pin kita boleh terus guna plug dia. Just plug 3 pin kita je kena ada adapter ni. Charger handphone saya adalah LG 2 pin yang nipis tu. Jadi memang ok lah nak caj kat sana.
  • Dokumen penting (pasport, ic, tiket flight dll). Kata traveller guide kami sebelum pi, ic jangan bawa, just bawa passport je, sebab passport hilang senang nak buat baru, tapi kalau ic hilang sekali, lagi lama lah kita nak balik Malaysia. Lagi satu bawa bisnes kad tempat kita menginap. Kalau sesat just tunjuk kad tu bagi memudahkan orang tempatan tolong kita pulang. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar sepanjang kami berada di sana.
  • Kamera - Penting sebagai bukti hehe. Better guna kamera yang tak perlu tanggal glove, handphone misalnya. Sejukk.
Selesai pasal barang keperluan, kemudian boleh lah bertolak dengan tenang. InsyaAllah.

BERTOLAK
Kami pergi dan balik menggunakan perkhidmatan  AirAsia X. Terus sampai tanpa mana-mana transit. Jarak perjalanan kami memakan masa enam jam lebih dari KLIA2 ke Incheon Airport, pukul 1 pagi sampai pukul 8 pagi lebih waktu Malaysia, 7 pagi waktu Korea. Masa beza sejam je. Alhamdulillah perjalanan smooth sahaja dan kami sampai awal di Incheon Airport dari masa yang ditetapkan sampai kena tunggu kapal terbang yang sedang ambil penumpang barulah kami boleh keluar dari pesawat dengan jayanya hehe, dan mulalah rasa bahang winter Korea...

Bahang winter tu sat jela sebab lalu aerobridge kalau tak silap nama dia. Dah masuk airport jadi ok balik. Bila nak masuk toilet kat sana masing-masing cari botol kosong sebab dah maklum awal-awal pasal tu. Kemudian terus berjalan ke train untuk ke terminal Incheon untuk diperiksa oleh pihak imigresen Korea dan untuk tuntut bagasi kami.

Dah ambil bagasi kami, kami ke kawasan menunggu dan jumpa tour guide kami yang sedang pegang nama company kami. Kemudian naik bas. Nak ke bas tu rasa bahang winter sekejap je sebab dalam bas dah ada heater, dan paling best ada wifi. Alhamdulillah. Sepanjang di sana kami guna bas je sebab kami semua memang agak ramai. Memang penuh satu bas sebab ini merupakan family trip jadi ramai yang bawa ahli keluarga masing-masing. Destinasi pertama kami adalah Nami Island! Nak ke Nami Island ni ambil masa 2 jam dari Incheon Airport.

HARI PERTAMA SABTU
Sarapan pagi kami adalah makan roti yang dibekalkan oleh tour guide di dalam bas.
Apabila tiba ke jeti NAMI ISLAND, tour guide belikan tiket bot dahulu untuk kami semua. Sementara itu boleh lah ke toilet yang disediakan bagi yang memerlukan. Toilet di Korea kebanyakan ada air panas dan air sejuk jadi tak perlu risau akan kesejukan air pada musim winter.hehe. Sampai ke Pulau Nami, kami harus berjalan untuk ke restoran yang dituju iaitu Asian (Halal) Restaurant. Di situ kami dihidangkan chicken teriyaki. Sedap, alhamdulillah.

Setelah itu kami mendirikan solat jamak taqdim zohor dan asar di musalla yang terletak di tingkat dua Chinese Gallery. Bagus kan ada tempat solat istimewa untuk pengunjung muslim ke sini? Selepas itu barulah boleh bergambar sepuasnya sementara menunggu bot datang untuk ke destinasi seterusnya.

ELYSIAN SKI RESORT. Di sinilah destinasi kedua kami. Kat sini pengalaman baru yang kami dapat adalah bermain salji secara langsung. Sebenarnya boleh juga nak main ski bagi siapa yang berminat. Kepada mereka yang tidak tahan sejuk terutama bayi dan kanak-kanak, boleh ke kedai kopi yang ada. Kopi jela mampu minum sebab bukan kedai halal kan. Kemudian barulah kami bergerak untuk check in di Guest House Nung Maru yang terletak di Myeongdong. Kami diberi sebiji burger udang setiap seorang dalam perjalanan itu. Manakala air mineral pula memang disediakan dalam bas. Kata pemandu pelancong kami, di Korea, air minum memang disediakan di mana-mana tempat awam dan ia adalah percuma! Pada malamnya setelah check in dan membersihkan diri dan juga solat, kami keluar untuk cari makan sebab ramai yang kembali lapar. Jadi kami makan makanan seafood di kedai makan sekitar guest house kami sahaja. Alhamdulillah kedai belum tutup lagi.

HARI KEDUA AHAD

Perkara pertama yang dibuat sebelum keluar berjalan mestilah bersarapan pagi dahulu. Di Guest House Nung Maru hanya menyediakan sarapan pagi sahaja, sebab kebanyakan waktu lunch dan dinner ramai yang tiada di bilik sebab keluar berjalan kan. Tempat pertama kami pada hari kedua adalah NAMSAN TRADITIONAL VILLAGE. Setelah puas bergambar di situ kami naik bas pula untuk ke NAMSAN TOWER yang tidak jauh dari kampung itu. Di sini boleh cuba pakai baju tradisional mereka secara percuma! Kemudian lunch kami pergi ke ITAEWON. Di sini banyak sangat restoran muslim. Sesudah itu kami solat di Masjid Itaewon dan tidak lupa bergambar kenangan di sana.

Sesudah bergambar kami kembali naik bas untuk ke GYEONGBUK PALACE! Maklumlah hari Ahad, memang ramai sangat pengunjung ke sana, tak kira sama ada pengunjung tempatan dan foreigner macam kami menambah bilangan pengunjung yang datang. hehe. Sebenarnya tidak sempat juga nak explore ke seluruh istana sebab besar sangat. Jadi lalu sahaja mana yang sempat, ambil gambar kemudian pulang sebab malam ini ada aktiviti lagi. 

Pukul 5.30 malam di Seoul kami dah kena berkumpul. Waktu ini dah macam nak maghrib di Malaysia, jadi solat maghrib dulu bagi yang berkuasa. Seterusnya kami makan malam dahulu di restoran yang sama kami pergi pada hari pertama kami di Seoul. Malam itu saya memilih untuk makan kimbab! Sedap! Menu yang mampu pilih semestinya seafood bagi menjaga kehalalan makanan yang masuk dalam badan kami (penting ni!).

Kemudian sesudah makan bolehlah berjalan kaki ke NANTA MUSICAL SHOW! Kami melalui pasar-pasar Myeongdong di sini. Meriah! Tidak ketinggalan dakyah kristianisasi juga ada di pasar ini. Gigih betul depa. Bagaimana pula dengan kita yang yakin hanya Islam agama yang benar lagi diredhai Allah SWT? Astaghfirullahalazim. Setelah menonton pertunjukkan tersebut kami berjalan-jalan di MYEONGDONG MARKET seperti yang saya sebut sebelum ini. Di sini saya merasa kebab orang Pakistan + Korea.

HARI KETIGA ISNIN; SHOPPING DAY! 

Sesudah breakfast di Guest House Nung Maru, kami bertolak ke NAMDAEMUN. Di sini banyak pilihan keychain, kacip kuku, magnet untuk peti sejuk, baju I LOVE Korea, kerongsang, gelang, rantai dan lain-lain. Kebanyakannya adalah handmade! Kat sini pun ada pendakwah Kristian juga. Biasanya mereka bergerak sorang-sorang dan memegang kad besar pasal Kristian sambil berdakwah dengan membuat laungan kuat-kuat dalam bahasa Korea. Sesudah itu kami lunch di kedai Seafood yang selalu artis Malaysia datang bertandang. (nama kedai tak pasti..hehe) Pengunjung restoran boleh tengok gambar yang ditampal di dinding-dinding restoran mereka. Penuh dengan gambar orang kita!

Kemudian setelah makan, kami bergerak pula ke HARD ROCK CAFE SEOUL. Disebabkan di sini tiada tempat solat, makanya kawasan tangga menjadi pilihan. Asalnya tempat ini tidak termasuk dalam itinerary kami. Sebab itu tempat solat yang khusus tidak ada. Setelah itu baru lah pergi ke DONGDAEMUN. Di Dongdaemun saya hanya ber-window shopping dalam Doota sahaja. Begitu kagum dengan semangat kenegaraan mereka. Semua kedai-kedai yang ada di situ hampir semuanya menjual barangan buatan Korea. Jika dibandingkan dengan kita di Malaysia, jarang dapat jumpa barangan buatan Malaysia di kawasan kompleks pusat membeli-belah yang gah terutamanya. Sebenarnya Dongdaemun ada tempat menjual barangan seperti di Namdaemun juga. Tapi sayang saya tidak berkesempatan untuk meninjaunya. Mungkin lain kali kot, insyaAllah. Setelah itu kami pulang ke guest house. Untuk makan malam pula adalah nasi telur ayam dan telur ikan yang telah pun ditapau siap-siap. Malam itu adalah aktiviti bebas. Kan bagus kalau saya boleh jumpa mana-mana kenalan di Korea waktu itu...huhu.

HARI TERAKHIR SELASA:
Seperti biasa, kami breakfast dahulu di Guest House kemudian bersiap pula untuk ke CHEONGGYE STREAM sebelum ke INCHEON AIRPORT. Itulah destinasi akhir kami semasa di Korea. Disebabkan kesuntukkan masa kami hanya tapau nasi daging dan makan di airport. Makan malam pula kami adalah dalam flight sahaja. Kena tempah secara online awal-awal untuk dapat harga yang murah. InsyaAllah.

Yang hebatnya mengenai Sungai Cheongye, sungai ini sangat jernih walaupun berada di tengah-tengah kepesatan bandar Seoul. Sungguh hebat! Perkara ini tidak akan berlaku melainkan adanya kerjasama antara dua pihak iaitu rakyat dan pemerintah. Tahniah! Moga di Malaysia kita juga boleh menjaga sungai kita tanpa bergantung harap sebahagian pihak sahaja yang menjaganya sebab alam ini menjadi tanggungjawab kita semua untuk menjaganya.

Banyak yang boleh saya pelajari dari perjalanan ini. Antaranya saya kagum dengan semangat cintakan negara mereka sehinggakan kita boleh lihat kereta-kereta dan produk-produk yang ada di sana, mereka sangat mengutamakan jenama negara mereka sendiri. Boleh kata hampir tiada jenama dari negara luar. Hebat-hebat. Sebab itulah negara mereka cepat membangun dan berkembang.

Selain itu pula, saya juga kagum dengan etika mereka sesama manusia. Mereka sangat menghormati orang lain walaupun berbeza warganegara dan agama. Etika yang baik seperti beratur untuk masuk train, membuka pintu bagi yang memerlukan, murah dengan senyuman dan lain-lain haruslah kita contohi manakala kalau ada yang buruk harus menjadi sempadan dalam hidup kita.

Alhamdulillah selesai mencoret perjalanan saya ke Korea. Sebagai kenang-kenangan sebenarnya. hehe. InsyaAllah moga ada rezeki lain untuk saya mengenali negara yang lain pula. Aminn.


Sekian. 
p/s: Maaf ye gambar belum tersedia untuk tatapan semua.